Iklan

Terengganu sekat pemilikan, jualan semua telur penyu

Diyana Ibrahim3 years ago18th Nov 2021Berita
W 50732494
Pindaan ke atas Enakmen Penyu Terengganu 1951 yang diluluskan hari ini telah meningkatkan kadar denda antara RM50,000 sehingga RM250,000 bagi kesalahan menjual haiwan dan telur, mengacau serta membunuh semua jenis penyu. – Gambar EPA, 18 November, 2021.
Iklan

TERENGGANU akhirnya berjaya menyekat pemilikan dan jualan semua telur penyu di pasaran melalui pindaan ke atas Enakmen Penyu Terengganu 1951 yang diluluskan hari ini.

Pindaan juga meningkatkan kadar denda sehingga RM50,000 ke RM250,000 bagi kesalahan menjual haiwan dan telur, mengacau dan membunuh spesis itu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Dr Azman Ibrahim ketika membentangkan pindaan itu berkata takrif semua penyu itu juga merangkumi tuntung laut.

“Seksyen ini melarang sama sekali mana-mana orang dari memiliki mana-mana semua spesis penyu kecuali bagi tujuan dibenarkan.

“Subsekyen 7a (ii) bertujuan mengekang sebarang kesalahan bagi penyu  termasuk penjualan telur promosi, penjualan telur atau lain-lain dikenakakan bagi teknologi kecuali bagi tujuan dibenarkan.”

Beliau membentangkan pindaan enakmen tersebut bagi bacaan kali kedua di sidang DUN hari ini.

Dalam sidang media selepas itu, Azman berkata peruntukan sedia ada sudah tidak relevan kerana hanya melarang penjualan telur penyu belimbing.

Walhal, penyu belimbing sudah lima tahun tidak kelihatan mendarat di mana-mana pantai negeri itu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Dr Azman Ibrahim ketika membentangkan pindaan itu berkata takrif semua penyu itu juga merangkumi tuntung laut. – Gambar EPA, 18 November, 2021.

Beliau berkata maklum balas diterima kerajaan negeri juga menunjukkan penjual telur penyu juga akur dengan pengharaman yang dikuatkuasa.

Azman juga menangkis dakwaan bahawa penyu yang dijual bukan dari Terengganu berasal dari Sabah kerana negeri itu sudahpun melarang penjualan telur penyu.

“Jadi, mustahil untuk dibawa masuk. Kami yakin yang ada di pasaran sebenarnya penyu Terengganu bukan dari negeri lain,” katanya.

Tambahnya, aktiviti berenang bersama penyu yang sering dianjurkan oleh penggiat pelancongan di pulau peranginan negeri itu masih dibenarkan.

Aktiviti itu bagaimanapun perlu mematuhi panduan yang ditetapkan dan keranaan akan menetapkan bot membawa pelancong terbabit memakai pelindung kipas.

“(Banyak) insiden penyu mati di negeri ini kerana terkena kipas bos.

“Penyu ini adalah spesis haiwan yang jinak bila mereka nampak bot, ia akan pergi dekat dengan bot menyebabkan berisiko terkena kipas bot,” katanya.

September lepas The Malaysian Insight melaporkan gesaan aktivis alam sekitar supaya Pantai Derdap di utara Pulau Kapas sebagai kawasan perlindungan penyu bertelur.

Mereka membuat gesaan kerana bimbang ada rancangan untuk membangunkan kawasan itu sebagai tarikan pelancongan kerana kawasan tersembunyu itu menjadi tumpuan penyu untuk bertelur.

Jabatan Perikanan Terengganu melaporkan pantai negeri itu kini hanya dikunjungi dua spesies penyu iaitu agar dan karah yang masih setia mendarat untuk bertelur.

Penyu belimbing kali terakhir dikesan bertelur di pantai Terengganu pada 2017.

Sepanjang tahun lalu, Jabatan Perikanan Terengganu juga merekodkan penurunan kes kematian penyu, sebanyak 55 ekor berbanding 78 pada 2019. 

Namun jabatan itu percaya ada banyak lagi kes kematian yang tidak dilaporkan kepada mereka. – 18 November, 2021.

Iklan
Iklan