Iklan

Baguslah Umno terlalu yakin untuk memenangi Melaka, kata Loke

Khoo Gek San3 years ago19th Nov 2021Berita
Malacca election campaign 20211111 tmihasnoor -1
Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke yakin PH mampu beri kejutan sebagaimana yang dilakukan pada PRU 2018.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2021.
Iklan

UMNO yang terlalu yakin mungkin membenarkan Pakatan Harapan menyelinap masuk dan merampas kemenangan di Melaka, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke.

Beliau berkata walaupun Umno menunjukkan tanda terlalu yakin untuk memenangi pilihan raya Sabtu ini, beliau tidak berputus asa terhadap PH untuk melakukan perkara yang tidak dijangka seperti yang mereka lakukan pada 2018.

“Ia akan menjadi titik perubahan yang baik untuk kami jika kami menang,” kata Loke kepada The Malaysian Insight.

“Umno yang terlalu yakin sudah tentu memberi kelebihan kepada PH.

“Kita tidak bertanding dalam pilihan raya ini untuk menjadi parti pembangkang. PH berada dalam kedudukan yang baik untuk mentadbir.

“Kalau saya kata kita bertanding untuk kuasa, katakan di Kelantan, maka anda boleh menuduh saya tidak realistik. Bagaimanapun, di Melaka mungkin kerana pada pilihan raya lepas, kita sebenarnya menang,” kata ahli Parlimen Seremban itu.

Beliau bagaimanapun berkata kemenangan PH tidak akan menamatkan kekacauan politik yang melanda negeri itu tetapi akan menjadi pengukur kepada pilihan raya umum akan datang.

“Tahun lalu, yang memuncak dalam rampasan kuasa Sheraton, telah mengecewakan ramai orang di Melaka, terutamanya dalam kalangan penyokong kami.

“Mereka telah bertanya: Adakah kita mempunyai peluang seterusnya?

“Kehilangan Sabah (dalam pilihan raya negeri tahun lepas) menambahkan lagi kekecewaan mereka.

“Jika kita boleh mengubah nasib kita di Melaka dan kita boleh membentuk kerajaan negeri, PH akan berada dalam kedudukan yang sangat kukuh untuk pilihan raya umum akan datang,” kata Loke.

PH berdepan pertembungan banyak penjuru di semua 28 kerusi DUN, berdepan cabaran daripada Barisan Nasional yang diterajui Umno dan Perikatan Nasional.

PH memenangi negeri itu buat kali pertama pada PRU14. Bagaimanapun beberapa siri gerakan politik menyaksikan Umno kembali berkuasa sebagai sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional semasa Langkah Sheraton pada Mei 2020.

Kerajaan negeri pimpinan Umno bagaimanapun tumbang pada 4 Oktober apabila empat Adun yang sebelum ini menyokong penyandang ketua menteri Sulaiman Md Ali, menarik balik sokongan mereka dengan alasan hilang keyakinan terhadap beliau sekali gus mencetuskan pilihan raya ini.– 19 November, 2021.

Berita penuh di sini. 

Iklan
Iklan