PBB Sarawak mungkin letak 10 muka baharu dalam PRN nanti
Iklan
PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak dijangka meletakkan sehingga 10 muka baharu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang selepas ada penyandang menyatakan hasrat bersara atau mohon digugurkan, kata Setiausaha Agungnya Alexander Linggi.
“Antara 10 peratus dan 20 peratus,” itu sahaja beliau beritahu pemberita selepas menghadiri mesyuarat persediaan PRN majlis tertinggi parti di Kuching malam tadi.
PBB, parti utama dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), dijangka mengumumkan senarai calon mereka malam tadi.
Parti lain dalam gabungan itu ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Antara mereka yang secara terbuka umum tidak akan pertahan kerusi ialah Kalaka Abdul Wahab Aziz dan Katibas Ambrose Blikau Enturan.
Abdul Wahab memegang kerusi itu sejak lapan penggal manakala Blikau memegang Katibas selama enam penggal.
Nama lain yang dikhabarkan untuk digugurkan ialah penyandang Pakan dan bekas menteri pembangunan sosial negeri William Mawan.
Sumber dalaman PBB berkata Jamillah Anu, penyandang Tanjung Datu dan balu kepada bekas ketua menteri Adenan Satem, juga menyatakan niat untuk berundur bagi memberi laluan kepada anaknya.
Linggi, yang enggan menyatakan bila parti itu akan mengumumkan calon-calonnya, berkata mereka masih meneliti senarai bakal pengganti.
“Pada PRN ke-12 nanti, PBB akan letak beberapa muka baharu sebagai sebahagian daripada pembaharuan pimpinan,” katanya.
Beliau berkata mesyuarat malam tadi, yang dipengerusikan oleh presiden parti dan Ketua Menteri Abang Johari Openg, adalah mengenai persiapan PRN dan bagaimana parti itu akan bekerjasama dengan rakan gabungannya.
“Perbincangan itu termasuk bagaimana kami akan bekerjasama dan bekerja dengan komponen dalam GPS yang lain bagi membentuk unit yang mantap.” – 20 November, 2021.