Perikatan gagal menyerlah di PRN Melaka
Iklan
PERIKATAN Nasional (PN) gagal menyerlah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka walaupun berkempen kekuatan imej Pengerusinya Muhyiddin Yassin.
Keputusan malam tadi menyaksikan parti itu hanya menang tipis di dua kerusi iaitu DUN Sungai Udang dan DUN Bemban melalui calon Bersatu daripada kesemua 28 kerusi yang ditandingi.
Calon PN di Sungai Udang Dr Mohd Aleef Yusoff menang dengan majoriti 530 undi apabila memperolehi 7,789 undi menewaskan tiga calon lain.
Beliau yang meletakkan jawatan sebagai doktor profesional menewaskan calon Barisan Nasional (BN) yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Mohamad Ali Mohamad.
Mohamad Ali memperolehi 6,259 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH) Hasmorni Tamby mendapat 2,035 undi.
Calon Bebas Mejar Jeneral (B) Mohd Zahar Hashim pula sekadar mendapat 471 undi dan hilang wang deposit di kawasan DUN dengan dua kem tentera itu.
Bagi DUN Bemban, calon PN Dr Mohd Yadzil Yaakub menang dengan majoriti 328 undi, apabila mendapat 4,211 undi.
Pengarah pilihan raya PN Melaka itu menewaskan empat calon lain termasuk Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew.
Tey mendapat 3,095 undi, manakala calon BN Koh Chin Han mendapat 3,883 undi di kawasan dengan seramai 18,573 pengundi berdaftar itu.
Dua calon Bebas Ng Choon Koon dan Azmi Kamis hilang wang deposit apabila masing-masing sekadar mendapat 850 dan 130 undi.
Hasrat PN untuk meletakkan calon ketua menteri wanita Melaka yang pertama juga tidak kesampaian apabila Mas Ermieyati Samsudin, calon bagi DUN Tanjung Bidara gabungan itu tewas.
Mas Ermieyati tewas dalam persaingan sengit kepada Pengerusi Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh dengan 364 undi majoriti.
Rauf mendapat 3,559 undi, berbanding Mas yang meraih 3,195 undi. Calon PH Zainal Hassan pula sekadar mendapat 489 undi.
Pengerusi PN Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen juga tewas kepada calon BN Abdul Razak Abdul Rahman di DUN Telok Mas.
Abdul Razak meraih majoriti 2,076 apabila mendapat 6,052 undi, manakala Rafiq mendapat 3,976 undi dan calon PH Asraf Mukhlis Minghat mendapat 3,891 undi.
Calon Bebas Muhammad Ariff Adly Mohammad pula hilang wang deposit apabila sekadar mendapat 153 undi.
Komponen PN dari PAS dan Gerakan juga tewas di semua kerusi yang mereka tandingi.
Gerakan tewas di semua lima kerusi iaitu Asahan, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
PAS bertanding di lapan kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.
Calon PAS yang mewakili PN di DUN Serkam Ahmad Bilal Rahudin kalah tipis dengan majoriti 79 undi kepada Zaidi Attan, calon BN.
Zaidi mendapat 5,038 undi manakala Ahmad Bilal hanya mendapat 4,959 undi.
Calon PH Muhammad Khomeni Kamal mendapat 1,535 undi manakala calon Bebas Azlan Hazali hilang deposit dengan mendapat 99 undi.
Keputusan PAS untuk menyertai PRN Melaka bersama PN tidak disenangi segelintir pemimpin tempatan dari parti Islam itu sejak awal.
Terdapat juga kes ahli PAS hadir untuk memberikan sokongannya kepada BN dan mahu agar parti Islam itu berbaik semula dengan Umno.
Di samping itu, terdapat kes jenteranya membantu kempen BN di DUN Ayer Molek, yang diakui Pesuruhjaya PAS Melaka Kamarudin Sidek sebagai isu terpencil.
Kamaruddin sendiri tewas di DUN Duyong kepada calon BN Mohd Noor Helmy Abu Halen dengan majoriti 200 undi.
Kamaruddin mendapat 2,874 undi, Mohd Noor mendapat 4,684 undi, calon PH Damien Baba Yeo mendapat 4,484 undi. – 21 November, 2021.