Iklan

Ejen pelancongan yakin keindahan Sabah jadi tarikan, pacu pulih industri

Khoo Gek San3 years ago22nd Nov 2021Berita
49930170243 3e53162f84 c
Matta Sabah yakin pelancong akan memilih Sabah kerana pulau dan tarikan pelancongannya serta wabak Covid-19 yang semakin menurun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November 2021.
Iklan

EJEN pelancongan berharap keindahan pulau dan pantai di Sabah mampu menjadi tarikan dan sekali gus memacu pemulihan semula industri tersebut di negeri itu apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan semula.

Menurut pemain industri, mereka pada mulanya mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum berhabisan mempromosikan pakej pelancongan.

Pengurus Pejabat Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Sabah Kennedy Fung berkata terdapat promosi besar-besaran untuk negeri itu dalam Pameran Matta yang akan diadakan hujung minggu ini.

Ejen pelancongan juga menawarkan diskaun sehingga 50% untuk pakej dari November hingga Mac tahun depan.

Fung yakin pelancong akan memilih Sabah kerana pulau dan tarikan pelancongannya serta wabak Covid-19 yang semakin menurun.

Bagaimanapun, kekurangan penerbangan masih menjadi masalah.

“Matta telah menghubungi Malaysia Airlines, dengan harapan mereka akan meningkatkan bilangan penerbangan antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat, yang akan membantu pihak industri mempromosikan pelancongan.”

Fung memberitahu The Malaysian Insight yang pakej pelancongan di Sabah adalah termasuk tiket penerbangan, penginapan dan makanan.

Tambahnya, pakej itu kini lebih kompetitif kerana hotel 4 dan 5 bintang menawarkan harga yang lebih rendah.

Beliau berkata kumpulan pelancongan kecil adalah ideal untuk memastikan pelancong sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.

“Hari Krismas dan Tahun Baru akan tiba. Pelancong akan memilih untuk melancong. Memandangkan keadaan wabak masih tidak menentu, kami memutuskan untuk melanjutkan pakej sehingga Mac,” katanya.

Sektor pelancongan sedang pulih selepas banyak syarikat menutup operasi tanpa memperbaharui lesen perjalanan mereka, kerana mereka terpaksa menghentikan perniagaan semasa pandemik.

Sebahagian daripada mereka memperbaharui lesen sekarang kerana perjalanan rentas negeri dibenarkan, katanya.

“Sabah mempunyai pulau-pulau cantik dan tarikan yang menarik. Kami berharap kerajaan dapat membuka semula pintu sempadan negara untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong asing. Agensi pelancongan mempromosikan pulau-pulau tertentu kepada orang ramai.

“Kita akan pastikan pelancong mematuhi SOP. Kami akan menyediakan kit kendiri untuk saringan Covid-19, jadi kami berharap kerajaan dapat memberikan subsidi kepada industri ini bagi menampung kos kit ujian kendiri Covid-19,” katanya.

Fung juga menegaskan Sarawak menyaksikan lonjakan kes walaupun terdapat langkah pencegahan yang ketat.

Tahun 2020 sepatutnya menjadi Tahun Melawat Malaysia. Bagaimanapun, pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan menghalang kempen tersebut.

Akibatnya, industri pelancongan dan penerbangan mengalami kemerosotan besar.

Selain itu, pelancong domestik dan asing menuntut bayaran balik daripada agensi pelancongan serta syarikat penerbangan kerana pembatalan perjalanan. – 22 November, 2021.

Iklan
Iklan