Iklan

Kerajaan perlu warta tarikh pilihan raya umum 6 bulan lebih awal, kata ahli Parlimen

Dllah
Ahli Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi mahu tahu mengenai pembaharuan SOP yangt dibuat bagi menghadapi pilihan raya akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2021.
Iklan

KERAJAAN perlu mewartakan tarikh bagi pilihan raya umum akan datang enam bulan lebih awal bagi membolehkan orang ramai bersedia, kata Che Abdullah Mat Nawi.

“Ini kerana parti politik perlu membuat persediaan berikutan pandemik Covid-19,” kata ahli Parlimen Tumpat ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 hari ini.

Ahli Parlimen PAS itu berkata pilihan raya negeri Melaka yang berakhir baru-baru ini memberikan pandangan berbeza tentang cara pilihan raya harus dijalankan semasa pandemik.

“Oleh itu, saya mahu kerajaan menjelaskan jika ada penambahbaikan dalam proses pilihan raya, iaitu pencalonan, berkempen dan pengundian.

“Saya juga ingin tahu berapa peratus pengundi muda yang mengundi dalam pilihan raya Melaka,” kata ahli Parlimen Kelantan itu.

Beliau berkata masih tiada program pendidikan pengundi yang ketara dilakukan walaupun kerajaan merancang untuk melaksanakan pendaftaran pegundi secara automatik tahun depan.

Che Abdullah merupakan antara beberapa ahli Parlimen seperti Johari Abdul (Sg Petani-PH) dan Teresa Kok (Seputeh-PH) yang mempersoalkan SOP baharu yang digunakan dalam pilihan raya negeri Melaka.

Menurut Kok, SOP baharu yang menghalang semua bentuk kempen fizikal, telah menjejaskan peratusan keluar mengundi secara drastik.

Peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya negeri Melaka telah menurun daripada 85.5% pada 2018 kepada hanya 64.5% pada pilihan raya negeri 2021 hujung minggu lalu.

Walaupun Barisan Nasional hanya memperoleh 38% undi pada Sabtu lalu, ia berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN. Pada pilihan raya 2018, BN memenangi 37.5% undi tetapi hanya memenangi 13 daripada 28 kerusi di negeri itu.

Dewan Rakyat kini sedang membahaskan belanjawan Jabatan Perdana Menteri untuk tahun depan. – 22 November, 2021.

Iklan
Iklan