PAS untung dalam PRN Melaka, kata penganalisis
Iklan
PAS menambah jumlah undi di tujuh daripada lapan kawasan yang ditandinginya dalam pilihan raya negeri Melaka hujung minggu lalu walaupun tidak menang sebarang kerusi, kata penganalisis.
Pertambahan jumlah undi itu menunjukkan prestasi lebih baik PAS apabila bersama parti lain berbanding ketika ia bertanding sendirian semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata mereka.
Pensyarah politik di Universiti Utara Malaysia (UUM) Azizuddin Sani melihat PAS dapat banyak manfaat bersama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), seperti yang ditunjukkan dalam PRN Melaka.
“Di Serkam, PN hampir menang, maksudnya ada sokongan kepada PN, meningkat dan bukan juga disebabkan kekuatan PAS sahaja, tetapi juga faktor Bersatu.
“Ada orang Melayu, yang tidak menyokong PH dan BN sokong PN, mungkin sentimen Abah,” katanya, merujuk panggilan kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi PN.
Calon PAS di Serkam Ahmad Bilal Rahudin yang kalah hanya 79 undi mendapat pertambahan undi sehingga 45% berbanding calon BN Zaidi Attan, yang juga penyandang kerusi. Semasa PRU14, Zaidi menang mengatasi Ahmad Bilal dengan kelebihan 2,737 undi.
Zaidi, naib ketua Umno Jasin, hilang hampir 21% undi apabila mendapat 5,038 undi kali ini berbanding 6,401 semasa PRU14.
Aizuddin juga percaya PN boleh menang di Serkam sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi keseluruhan dalam PRN Melaka ialah 65.85%, lebih rendah berbanding 86% dalam PRU14.
Di Serkam, peratusan keluar mengundi hujung minggu lalu ialah 72.8% berbanding 85.6% semasa PRU14.
“Kalau lihat daripada itu mereka boleh tambah lagi jumlah undi, untuk menang tambahan kerusi tak pasti tapi nak menang Serkam itu boleh jadi,” kata Aizuddin.
Serkam, dengan jumlah pengundi Melayu 90%, adalah antara 13 kawasan majoriti pengundi Melayu lebih 70%. PAS bertanding di lima kawasan itu dan di tiga kawasan lain yang majoriti pengundi Melayunya antara 50-69%.
PAS tambah undi
Daripada lapan kerusi yang PAS bertanding, PAS menambah jumlah undi di semua kerusi kecuali satu iaitu di Duyong.
Calonnya pesuruhjaya PAS negeri Kamarudin Sedik, yang juga calon semasa PRU14, kehilangan 2% undi berbanding yang diperolehinya pada Mei 2018.
BN merampas Duyong melalui calonnya Mohd Noor Helmy apabila calon PH Damian Baba Yeo hilang 41% undi, daripada 7,642 pada PRU14 kepada hanya 4,484 kali ini.
Selain Serkam dan Duyong, PN meletakkan calon PAS di Kuala Linggi, Taboh Naning, Durian Tunggal, Kelebang, Bukit Katil, dan Merlimau.
Menurut Azizuddin, PAS sebenarnya menerima banyak manfaat dalam PN berbanding bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).
Beliau mengakui PAS akan lebih kuat kalau bersama BN tetapi itu bergantung sejauh mana parti Islam itu sedia untuk bertolak ansur dengan Umno.
“Banyak isu perlu diselesaikan kalau PAS bersama BN. Kalau mereka (PAS dan Umno) bergabung kena bahagi kerusi.
“Di Kelantan, Terengganu, bolehkah mereka kompromi untuk bentuk kerajaan bersama?” tanyanya.
Pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali percaya Umno akan meminggirkan kerjasamanya dengan PAS melalui Muafakat Nasional selepas menang besar di Melaka apabila bertanding sendiri dengan BN.
“Kalau berpakat dengan PAS, Umno susah nak kawal Terengganu, Kelantan dan negeri utara. Keputusan Umno solo tepat.
“Strategi tidak bersama Bersatu dan keputusan untuk solo mungkin kekal (hingga pilihan raya umum depan),” katanya.
PN pilihan pengundi Melayu tolak PH
Mazlan juga melihat kerjasama PAS dengan Bersatu dalam PN menunjukkan permulaan yang baik apabila berjaya menarik minat pengundi Melayu yang menolak Umno dan mereka yang tidak bersetuju dengan PH.
“PAS pengaruh tak kuat di Melaka tapi bila bergabung dengan Bersatu mereka jadi kuasa yang kuat, ‘third force’,” katanya.
Bagaimanapun Mazlan berpandangan PRN Melaka bukan sandaran untuk PRU15 kerana pola pengundian pasti berubah dengan penglibatan 8 juta pengundi muda apabila had umur mengundi 18 tahun dikuat kuasa nanti.
“PRN Melaka menunjukkan gabungan PAS dengan Bersatu boleh beri cabaran dalam pilihan raya umum, permulaan yang baik,” katanya. – 23 November, 2021.