Iklan

Melaka bukan penamat gagasan bebas, kata pengasas Piagam Rakyat

Mohd Farhan Darwis3 years ago28th Nov 2021Berita
Haniff
Pengasas Piagam Rakyat Mohamed Haniff Khatri Abdulla PRN Melaka adalah ujian untuk memperkenalkan gagasan baharu itu dan mereka tidak akan berpatah balik kerana ini hanya permulaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2021.
Iklan

KALAH dan hilang wang pertaruhan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan penamat kepada gagasan calon bebas Piagam Rakyat mahu muncul jadi pilihan lain kepada pengundi dalam pilihan raya umum akan datang, kata pengasasnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Dalam PRN Melaka, 13 daripada 22 calon bebas yang bertanding bergabung dalam satu gagasan, yang seawal Julai 2021 sudah mengumumkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Haniff yang juga peguam berkata PRN Melaka adalah ujian untuk memperkenalkan gagasan baharu itu dan mereka tidak akan berpatah balik kerana ini hanya permulaan.

“PRN Melaka ‘pilot test’ kepada Piagam Rakyat. Keputusan di Melaka memang dijangka, kita tak cukup masa untuk rakyat faham (tentang gagasan bebas).

“Dengan kekalahan semua calon, hilang deposit, tiada cara lain kecuali kemajuan, kita akan teruskan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Suntuk

Haniff menjelaskan masa singkat antara bubarnya Dewan Undangan Negeri Melaka 4 Oktober dan pilihan raya 20 November tidak cukup untuk memperkenalkan gagasan bebas kepada pengundi.

“Tetapi kita tak berputus asa, kita akan teruskan,” tegas Haniff.

Piagam Rakyat akan terus memahamkan pengundi bahawa untuk pertama kali dalam pilihan raya sekumpulan calon bebas bergabung untuk jadi pilihan mereka selain parti politik.

“Satu gabungan individu Bebas tak pernah ada sebelum ini. Orang tak faham lagi macam mana ia berfungsi. Itu tanggungjawab kita untuk fahamkan rakyat.

“Sekurang-kurangnya bagi saya, yang pertama pengundi mula tahu penglibatan pihak ramai di luar yang akan bergerak tanpa parti,” katanya.

Beliau juga sedar usaha itu bukan mudah dan mungkin hanya akan berhasil selepas tiga atau empat kali pilihan raya umum.

“Saya nampak hanya akan berbuah hasil dalam jangka masa 15-20 tahun, mungkin saya pun tak ada masa itu, ini untuk masa depan negara, kita takkan nampak hasil dalam sebulan dua,” tambahnya.

Peguam Haniff Khatri berkata rakyat masih belum buka minda untuk terima cadangan tadbir urus negara, pilihan raya melalui konsep tak berparti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2021.

Pilihan raya tanpa parti

Haniff juga mendakwa rakyat tidak memahami konsep tadbir urus negara dan pilihan raya tanpa parti.

“Rakyat masih belum boleh buka minda untuk menerima cadangan tadbir urus negara, pilihan raya melalui konsep tak berparti.

“Walaupun pada hakikatnya aduan pengundi dan rakyat adalah masalah parti, tak percaya parti, kredibiliti parti, tetapi bila ada pihak tampil alternatif seperti Piagam Rakyat, mereka masih belum sedia terima,” katanya.

Haniff mengingatkan pilihan raya bukan monopoli parti politik dan itulah yang akan difahamkan oleh Piagam Rakyat kepada pengundi menuju PRU15.

“Bagi Piagam Rakyat ia proses yang lama, tak boleh lihat kepada keputusan PRN Melaka sahaja,” tambahnya.

Haniff turut menegaskan Piagam Rakyat bukan proksi mana-mana parti politik, sementara semua calonnya menandatangani akuan bersumpah dan akujanji tidak akan menyertai parti sekiranya menang.

Selain 22 calon bebas, lima calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan calon tunggal Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) juga hilang wang pertaruhan. – 28 November, 2021.

Iklan
Iklan