SPR cadang benarkan kempen PRN Sarawak di rumah panjang, kampung
Iklan
KEMPEN fizikal dan perhimpunan akan dibenarkan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tetapi hanya di kampung dan rumah panjang, menurut draf prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dokumen yang dilihat The Malaysian Insight itu menyatakan lawatan rumah ke rumah dan bilik ke bilik di rumah panjang juga dibenarkan.
Aktiviti kempen fizikal di tempat lain tetap tidak dibenarkan, sama seperti SOP yang dilaksanakan pada PRN Melaka minggu lalu.
Draf itu bagaimanapun tidak memperincikan sama ada larangan tersebut dikecualikan di kampung dan rumah panjang sepanjang kempen 12 hari bermula 6 Disember (penamaan calon) dan 17 Disember, sehari sebelum pengundian.
SPR menetapkan PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember.
Kelonggaran SOP bagi PRN Sarawak itu bagaimanapun bersyarat, iaitu SPR hanya membenarkan kempen dijalankan oleh penduduk kampung atau rumah panjang.
Kecuali calon, pemimpin parti politik, pemerhati dan pegawai kerajaan, penduduk luar sama sekali tidak dibenarkan berkempen di kampung atau rumah panjang.
Jumlah petugas kempen juga dihadkan kepada lapan orang.
Kebenaran kempen fizikal dan ceramah antara yang dituntut kebanyakan parti politik atas faktor geografi Sarawak, selain jaringan internet di kawasan luar bandar dan pedalaman di negeri itu sangat lemah.
Ini sudah pasti akan menyukarkan parti politik dan calon yang bertanding sukar untuk berkempen melalui media sosial. – 25 November, 2021.