Iklan

Tewaskan BN adalah matlamat bersama, kata pemimpin Pemuda Amanah

Melati A. Jalil7 years ago31st Jan 2018Berita
Felda jalan semarak 20171227 tmihasnoor 012
Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin (dua dari kiri) bermula sebagai pemimpin pergerakan mahasiswa, menyertai PAS tetapi kini bersama Amanah kerana menurutnya semangat perubahan sudah tidak wujud dalam PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2018.
Iklan

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14, The Malaysian Insight mendekati muka baru politik yang dilatih parti mereka untuk menjadi calon. Salah satu keluhan dalam kalangan pengundi adalah kekurangan pemimpin muda politik yang berwibawa baik di parti pemerintah mahupun pembangkang, malah ketua utama parti politik kini adalah mereka yang sudah bergelumang dalam politik sejak 1980-an lagi. Di manakah orang muda yang akan meneruskan perjuangan politik Malaysia?

PERGERAKAN mahasiswa mempersiapkan dirinya untuk terjun ke arena politik, kata Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin yang pernah bersama parti Islam, PAS dan sudah mula berjinak-jinak dengan perjuangan ruang awam sejak bergelar pelajar.

Beliau adalah salah seorang pengasas Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku yang menggesa penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, atau lebih dikenali sebagai Auku yang membataskan penglibatan pelajar dalam aktiviti politik.

Beliau juga adalah pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis). Walaupun tidak wujud kaitan rasmi antara PAS dan Gamis, persatuan pelajar itu memang dikenali sebagai antara organisasi yang melahirkan ramai pemimpin Pemuda PAS.

Apabila tiba masanya untuk menentukan kerjaya apakah yang menjadi pilihan selepas berijazah, Shazni memutuskan untuk menyertai politik bagi melakukan perubahan dalam negara, dan tidak menyertai pergerakan masyarakat sivil seperti rakan-rakannya yang lain.

Keputusan itu dengan pantas menarik tawaran bagi menduduki jawatan peringkat kebangsaan dalam kepimpinan Pemuda PAS tetapi ditolaknya, mengatakan beliau mahu bermula dari bawah.

“Saya fikir jika saya mahu sertai parti politik, saya perlu bermula dari akar umbi untuk faham sentimen di bawah.

“Jadi kerana itulah saya mulakan aktiviti politik di kawasan saya, di PAS cawangan Kampong Jawa, Segamat, Johor bawah PAS Bahagian Sekijang,” kata lelaki berusia 31 tahun itu kepada The Malaysian Insight.

Dilahirkan di Muar, beliau kini menyara dirinya dengan mengajar Al-Quran di sebuah sekolah di Sentul, Kuala Lumpur yang dimilikinya bersama beberapa orang rakan lain.

Siapapun yang menjadi calon Pakatan Harapan akan mendapat sokongan Amanah kerana kepentingan rakyat dan pakatan lebih penting berbanding parti, kata Shazni Munir Mohd Ithnin.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2017.

Ketika bersama PAS, jawatan pertamanya adalah Ketua Pemuda PAS Sekijang sebelum bertanding dan menang jawatan timbalan ketua bahagian PAS Sekijang pada 2015. Beliau juga dilantik koordinator komunikasi Pemuda PAS.

Walaupun ketika masih bergelar pelajar, Shazni mengatakan cara pemikiran dan pendekatan politiknya berbeza daripada kepimpinan Pemuda PAS, yang ketika itu diterajui Nasruddin Hassan Tantawi.

“Ketika dia (Nasruddin) menerajui Pemuda PAS, saya adalah timbalan presiden Gamis. Dia mahukan Gamis dilihat sebagai selari dengan Pemuda PAS untuk buat aktiviti akar umbi, sedangkan kepimpinan Gamis ketika itu mahukan organisasi itu perlu menjadi pergerakan pelajar yang bertindak sebagai (mekanisme) semak dan imbang kepada kerajaan.”

Shazni berkata kepimpinan Gamis mahu organisasi itu mampu mengkritik kedua-dua pihak bertelagah dalam politik secara saksama, seperti mana apabila ia membantah kerajaan Barisan Nasional mengenai salah guna Auku yang menghalang pelajar terlibat dalam politik sebelum akta itu dipinda.

Kerana itu beliau menolak tawaran jawatan peringkat kebangsaan kerana merasakan ia “buang masa”.

Menyertai Amanah, parti serpihan PAS yang terdiri daripada kumpulan progresif yang ditewaskan pada pemilihan parti Islam itu berlaku dengan mudah.

Amanah dibentuk oleh pemimpin PAS yang menyokong kesinambungan kerjasama politik dengan DAP dan PKR. Semua pemimpin ini ditewaskan dalam pemilihan parti pada 2015.

“Salah satu sebab saya sertai Amanah adalah kerana kemahuan untuk berubah dalam PAS sudah tidak wujud. PAS sudah menjadi parti eksklusif,” katanya.

Tahun lepas, nama Shazni menjadi bualan ramai dan mendapat liputan meluas media kerana beliau salah seorang pemimpin Pemuda Pakatan Harapan yang didakwa mengunci pintu Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya selepas mereka dihalang menyerahkan memorandum. Disebabkan itu, beliau direman empat hari.

Beliau juga disiasat atas dakwaan menghasut susulan kenyataan diberikan kepada media mengenai menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Matlamat pembangkang jelas, menjatuhkan kerajaan Najib Razak dan melakukan perubahan di negara ini, kata Shazni. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2018.

Shazni kini adalah setiausaha Amanah Sekijang dan berharap untuk bertanding di Pemanis, salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri di Sekijang. Tetapi hasrat itu nampaknya tidak kesampaian apabila pembahagian kerusi antara parti dalam PH dimuktamadkan awal bulan ini.

Pemanis kini milik PKR, katanya, menambah yang beliau akan menyerahkan pencalonan dan kawasan ditandinginya kepada kepimpinan Amanah.

Amanah Johor hanya diberikan dua kerusi Parlimen- Pulai dan Parti Sulong- walaupun mereka meminta lima kerusi daripada 26 kerusi Parlimen di negeri kubu kuat Umno itu.

Tetapi Amanah Sekijang akan tetap membantu calon PH yang bertanding di situ, kerana kepentingan rakyat dan pakatan pembangkang lebih utama berbanding parti sendiri, kata Shazni.

“Kerana matlamatnya jelas, kita mahu kalahkan Barisan Nasional.

“Lebih mudah berdepan pilihan raya dengan Pakatan Harapan. Ia akan tambah sukar jika kami bersendiri.” – 31 Januari, 2018.

Iklan
Iklan