Tambang mahal halang rakyat Sarawak di Johor balik mengundi, kata ahli Parlimen
Iklan
HARGA tiket penerbangan yang mahal menghalang pengundi Sarawak di Johor daripada pulang mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) nanti, kata ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim hari ini.
Beliau berkata ramai pekerja Sarawak di Pasir Gudang yang terjejas dengan harga tiket penerbangan yang tinggi.
“Harga tiket kapal terbang dari Semenanjung ke Sarawak naik mendadak terlalu tinggi hingga di luar kemampuan pengundi biasa Sarawak yang menjadi pekerja kilang di Pasir Gudang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru Hassan menggesa Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan terhadap syarikat penerbangan yang guna kesempatan untuk kaut keuntungan.
“Saya minta menteri pengangkutan campur tangan dan ambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat penerbangan yang mengambil kesempatan memeras rakyat Sarawak yang ingin pulang melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi bagi memilih kerajaan baru Sarawak untuk lima tahun akan datang.”
Beliau berkata keputusan syarikat penerbangan menaikkan harga tiket bertentangan dengan Akta Percatutan.
“Ia membawa makna hanya orang kaya sahaja yang boleh pulang mengundi dalam PRN Sarawak pada bulan depan,” katanya.
Hassan turut persoal Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mengapa harga tiket ke Miri lebih mahal berbanding perjalanan dari Malaysia ke Dubai.
Beliau turut mempersoalkan adakah kenaikan harga yang drastik itu adalah satu helah untuk menghalang pengundi pulang.
Awal minggu ini, ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii menggesa Putrajaya mencari jalan untuk menurunkan harga tiket penerbangan ke Sarawak.
Yii berkata harga tiket penerbangan perlu dikawal untuk tiga hari sebelum dan selepas PRN supaya dapat galak rakyat Sarawak di Semenanjung pulang mengundi.
Semalam, Malaysia Airlines berkata ia telah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk mengendalikan penerbangan tambahan ke negeri itu antara 11 Disember ini dan 5 Januari tahun depan.
Syarikat penerbangan itu berkata bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching, pertambahan daripada 21 penerbangan seminggu kepada 35; bagi laluan Kuala Lumpur-Bintulu, Kuala Lumpur-Miri dan Kuala Lumpur-Sibu daripada tujuh penerbangan seminggu kepada 14.
Malaysia Airlines menyatakan bagi tempoh perjalanan pada Disember, ia mengenakan tambang purata RM350 sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching bermula Oktober lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi PRN Sarawak pada 18 Disember. – 26 November, 2021.