Iklan

Menteri Pengangkutan arah kurangkan harga tiket, tambah penerbangan ke Sarawak

Raevathi Supramaniam3 years ago27th Nov 2021Berita
49931924231 d8fd2fe553 o
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong hari ini menggesa syarikat penerbangan menurunkan harga tiket penerbangan ke Sarawak, selain menggesa tambah kekerapan penerbangan ke negeri itu menjelang pilihan raya negeri dan cuti akhir tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2021.
Iklan

SYARIKAT penerbangan diarah kurangkan harga tiket menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Beliau berkata banyak pihak termasuk rakyat marah dengan harga melampau menjelang akhir tahun ini.

“Kerajaan memandang serius perkara ini dan telah mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh bagi menyelesaikan isu yang memberi kesan kepada orang ramai, daripada pengembara hinggalah kepada ahli keluarga yang mereka rindui untuk bertemu semula setelah sekian lama berpisah akibat pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) telah terlibat secara aktif dengan pemain industri dan kerajaan negeri termasuk Sarawak untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke semua destinasi termasuk mengambil kira usaha-usaha berterusan dalam membendung penularan Covid-19 di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Wee berkata cara terbaik untuk menurunkan harga penerbangan adalah dengan menambah kekerapan penerbangan.

“Dengan itu, tambang penerbangan akan ditentukan oleh mekanisme penetapan harga secara dinamik yang dipacu oleh pasaran dengan mengambil kira bekalan dan permintaan, keadaan ekonomi, kos bahan api, dan faktor operasi-operasi lain yang berkaitan.”

Wee berkata MoT juga telah mengutus surat kepada Menteri Pengangkutan Sarawak Lee Kim Shin pada 18 November 2021 untuk meminta kerajaan negeri mengembalikan keputusan kawal selia kekerapan perkhidmatan penumpang udara kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

“Kerajaan negeri dan agensi berkaitan mesti memainkan peranan masing-masing bagi memastikan perkhidmatan dan permintaan bergerak seimbang serta membenarkan syarikat penerbangan meningkatkan frekuensi perkhidmatan mereka berdasarkan pengoperasian yang dipacu oleh pasaran.”
 
Beliau berkata syarikat penerbangan domestik AirAsia dan Malindo telah diberitahu untuk kurangkan harga tiker agar rakyat dapat membuat perjalanan dalam tempoh berkenaan.
 
Wee turut mengingatkan pemain industri supaya tidak ambil kesempatan menaikkan harga bagi mengelakkan pandangan umum yang mereka buat demikian untuk menutup kerugian sejak pandemik melanda dua tahun lepas.

“Saya juga menggesa semua pihak supaya mengambil tindakan segera menurunkan harga tambang penerbangan bagi pengembara tanpa perlu Kerajaan Persekutuan dan agensinya campur tangan secara berlebihan dalam pengoperasian tersebut.”
 
Awal minggu ini, ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii menggesa Putrajaya mencari jalan untuk menurunkan harga tiket penerbanganke Sarawak.

Yii berkata harga tiket penerbangan perlu dikawal untuk tiga hari sebelum dan selepas PRN supaya dapat galak rakyat Sarawak di Semenanjung pulang mengundi.

Semalam, Malaysia Airlines berkata ia telah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk mengendalikan penerbangan tambahan ke negeri itu antara 11 Disember ini dan 5 Januari tahun depan.

Syarikat penerbangan itu berkata bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching, pertambahan daripada 21 penerbangan seminggu kepada 35; bagi laluan Kuala Lumpur-Bintulu, Kuala Lumpur-Miri dan Kuala Lumpur-Sibu daripada tujuh penerbangan seminggu kepada 14.

Malaysia Airlines menyatakan bagi tempoh perjalanan pada Disember, ia mengenakan tambang purata RM350 sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching bermula Oktober lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi PRN Sarawak pada 18 Disember. – 26 November, 2021.

Iklan
Iklan