Iklan

PKR beri amaran, DAP akan bertembung dengan sekutu di 4 DUN Sarawak

Desmond Davidson3 years ago27th Nov 2021Berita
Sarwak Dun
Pemangku Pengerusi PKR negeri Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata DAP jelas tidak berniat untuk membawa pertikaian itu kepada pemimpin negara apabila tergesa-gesa mendedahkan calonnya untuk PRN Sarawak pada hari berikutnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November 2021.
Iklan

PKR memberi amaran kepada sekutunya, DAP bahawa ia akan berdepan calon daripada parti itu di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak jika gagal menyelesaikan isu pertikaian sebelum hari penamaan calon.

Hari penamaan calon PRN Sarawak dijadualkan pada 6 Disember manakala pengundian akan berlangsung 18 Disember.

Pemimpin PKR Sarawak menuduh Pengerusi PH negeri Chong Chien Jen mengingkari keputusan yang dibuat gabungan itu dalam mesyuarat mereka pada Khamis bagi merujuk pertikaian kerusi kepada majlis presiden untuk perbincangan.

Pemangku Pengerusi PKR negeri Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata DAP jelas tidak berniat untuk membawa pertikaian itu kepada pemimpin negara apabila tergesa-gesa mendedahkan calonnya untuk PRN Sarawak pada hari berikutnya.

Ini termasuk empat kerusi yang dipertikaikan iaitu Senadin, Piasau, Pujut dan Kemena.

DUN Senadin, Piasau dan Pujut adalah kerusi majoriti Cina di Miri dan secara tradisinya diperuntukkan kepada DAP manakala PKR, dalam satu kenyataan semalam, berkata kerusi DUN Kemena di Bintulu hanya “dipinjamkan” kepada DAP pada pilihan raya lalu dan parti itu mahukannya kembali.

Pada PRN lepas DAP tewas di tiga kerusi, kecuali di DUN Pujut.

Bagaimanapun, “Adun” Pujut, Dr Ting Tiong Choon, kemudiannya dibatalkan kelayakan oleh mahkamah susulan memiliki dua taraf kewarganegaraan, Malaysia-Australia.

“Mesyuarat PH pada Khamis bersetuju untuk memuktamadkan peruntukan kerusi di majlis presiden PH. Pertikaian tidak dapat diselesaikan.

“Usaha untuk menyelesaikannya akan diteruskan. Bagaimanapun, kami tidak menolak fakta bahawa akan berlaku pertarungan pelbagai penjuru (di kerusi tersebut),” kata Abg Zulkifli kepada The Malaysian Insight.

Jelas berang dengan tindakan DAP, Abang Zulkifli berkata Chong sepatutnya menunggu apa yang diputuskan majlis presiden seperti dipersetujui dalam mesyuarat Khamis lalu.

“Beliau tidak sepatutnya mendahului keputusan itu dengan menyerahkan ‘watikah’ (surat kuasa) semalam.”

Abang Zulkifli, yang dijangka bertanding semula untuk kerusi majoriti Melayu di DUN Lingga, berkata PKR membuat tuntutan di empat kerusi itu kerana “kita jelas mempunyai kekuatan” di sana.

“Tetapi kami menghormati persahabatan dan keputusan bersama. Keputusan yang dibuat pada 25 November adalah untuk menunggu keputusan majlis presiden.”

Beliau kemudian mengingatkan DAP dan penyandang Kota Sentosa bahawa PKR Sarawak tidak seperti PKR di negeri-negeri di Semenanjung yang mempunyai autonomi untuk membuat keputusan sendiri. – 27 November, 2021.

Iklan
Iklan