PH gagal tangkis fitnah "Cina kuasai Melayu", kata Anwar
Iklan
PAKATAN Harapan (PH) masih gagal menangkis dakyah dan tohmahan musuh politiknya iaitu kaum Cina akan menguasai orang Melayu sekiranya gabungan itu memerintah, walaupun selepas 22 bulan mentadbir Putrajaya sebelum ini, kata Anwar Ibrahim.
Pengerusi PH berkata, tohmahan itu dikesan jadi mainan parti lawan semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
“Bila tanya umpamanya kempen mereka ialah adakah kamu (pengundi) mahu PH perintah semula, dengan persepsi pemerintahan PH semula akan menjadi dominan kaum lain, iaitu Cina ke atas masyarakat Melayu.
“Kita tahu itu tak benar tapi kelemahan kita sampaikan (menafikan) mesej ini, dalam 22 bulan kita perintah, kita belum dapat yakinkan rakyat,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menerima masuk Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik menyertai PKR, di Machap, hari ini.
Presiden PKR menjelaskan gaya kempen di PRN Melaka juga baru untuk PH malah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan juga lebih memihak kepada pemerintah.
Kekangan berkempen itu menyukarkan PH untuk mendekati pengundi, seperti lazimnya mereka berkempen melalui ceramah atau rumah ke rumah, tambahnya.
Menurut Anwar, pengalaman PRN Melaka harus dijadikan pengajaran kepada semua pihak dalam PH dari akar umbi sampai ke pucuk pimpinan.
“Kita harus bincang, bukan menuding tapi mencari jalan keluar memperbaiki keadaan dan itu tidak akan berlaku kalau ada pihak mendabik dada mengarah menuntut dengan angkuh,” katanya.
Anwar berkata, walaupun dasar kerajaan PH dalam tempoh pentadbiran dianggap baik namun isu perkauman yang digunakan terhadap gabungan itu terlalu tebal dan sukar dipatahkan.
Dalam PRN Melaka 20 November, PH hanya menang lima kerusi – gagal mengulangi penguasaan di 15 kerusi semasa Pilihan Raya Umum ke-14.
Daripada lima kerusi, empat dimenangi oleh DAP dan satu Amanah sementara PKR kalah semua 11 kerusi yang ditandinginya.
Dalam pada itu, Anwar memuji Maszlee yang tetap memilih bersama PKR walaupun sedar parti itu tewas dalam PRN Melaka.
Anwar juga berharap penyertaan Maszlee dapat memberikan nafas baharu kepada PKR, khususnya di Johor. – 27 November, 2021.