Masuk PKR kerana prinsip, bukan laba kedudukan, kata Maszlee
Iklan
AHLI Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik memilih untuk menyertai PKR kerana prinsip perjuangan parti itu dan bukan disebabkan habuan mahupun laba kemewahan.
Bekas menteri pendidikan Pakatan Harapan (PH) berkata, tindakannya masuk PKR berbeza dengan katak politik yang melompat dari satu parti ke parti lain semata-mata mengejar habuan.
“Mengapa saya nak sertai parti kalah, presidennya diserang pelbagai sudut bukan sahaja oleh lawan, tetapi segelintir kawan pun serang, lebih malang lagi ada yang menyindir kenapa saya sertai PKR yang lemah dan tidak popular.
“Inilah harga sebuah perjuangan.
“Jikalau digelar katak melompat masuk ke parti lain untuk jawatan, kedudukan, dan laba kewangan, tetapi apabila kita ambil langkah bersama parti yang kalah dan dalam keadaan lemah demi membela rakyat, itu bukan katak, itu perjuangan untuk negara,” kata Maszlee.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan penyertaan sebagai ahli PKR bersama 500 penyokongnya di hadapan Presiden PKR Anwar Ibrahim di Machap, petang tadi.
Penyertaannya hari ini mengesahkan desas-desus mengenai langkah politiknya sejak setahun tidak berparti.
Bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini menyertai Bersatu dua bulan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
Selepas episod percaturan politik Langkah Sheraton pada Februari 2020, beliau jadi antara penaja penubuhan Pejuang tetapi kemudian menarik diri pada November 2020 dan sejak itu jadi ahli parlimen bebas.
Menurut Maszleen, demi harapan baharu untuk negara, wang dan ganjaran sanggup beliau ketepikan dengan memilih PKR sebagai wadah politik barunya.
“Saya tak masuk mana-mana parti untuk laba keuntungan, saya tak nak jadi oportunis dengan tukar parti untuk wang ganjaran, dan kedudukan.
“Begitulah payah masuk pembangkang, tiada habuan tapi harapan bina masa depan baru untuk negara,” kata Maszlee.
Beliau juga yakin keadaan lebih mudah bagi dirinya jika memilih untuk bersama parti pemerintah dari Barisan Nasional (BN) atau Bersatu.
Namun bukan itu yang diharapkannya selepas meninggalkan dunia akademik dan menceburkan diri dalam politik.
“Kalau nak jadi kaya, lumayan, baik lompat masuk BN atau kembali ke Bersatu, umum maklum bukan harga bersama gerombolan itu, bukan tujuan saya masuk politik dan tinggalkan alam akademia turun ke jalanan bersama marhaen.
“Saya mahukan yang terbaik untuk rakyat dan negara, pendidikan yang berkualiti untuk anak bangsa,” kata Maszlee.
Dalam pada itu, Maszlee menyeru anak muda supaya menggalas agenda perubahan untuk Malaysia yang lebih adil, saksama, dan berintegriti.
“Harapan masih belum pudar, kita punya harapan bangkit ke hadapan, saya seperti anda semua rakyat biasa, marhaen mahukan perubahan membuat keputusan bersama PKR,” katanya.
Maszlee menyerahkan borang penyertaan beliau dan 500 penyokong di Simpang Renggam berserta permohonan penubuhan 20 ranting baru di kawasan itu.
Maszlee menyasarkan pertambahan 1,000 ahli baharu PKR di cabang Simpang Renggam sebelum akhir tahun ini. – 27 November, 2021.