Iklan

Program subsidi upah kerajaan kurang membantu, kata majikan

Khoo Gek San3 years ago1st Dec 2021Berita
50572646952 300dbd68b4 b
Pemimpin perniagaan berkata Program Subsidi Upah kerajaan tidak begitu membantu kumpulan majikan untuk terus mempertahankan perniagaan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2021.
Iklan

SUBSIDI gaji daripada kerajaan hanya membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) buat sementara waktu kerana tekanan baharu disebabkan oleh harga komoditi yang lebih tinggi dan masalah rantaian bekalan menambah masalah kepada perniagaan apabila ekonomi dibuka semula.

Kos logistik dan pengangkutan serta permintaan untuk bahan mentah mewujudkan kekangan kewangan, kata kumpulan perniagaan.

Walaupun ia membantu beberapa pekerja mengekalkan pekerjaan mereka, bantuan daripada Program Subsidi Upah (PSU) Putrajaya hanya jumlah yang sangat kecil dari yang diperlukan.

Presiden Persatuan PKS Malaysia Ding Hong Sing berkata banyak PKS masih dibayar gaji yang dikurangkan antara 20% dan 50% kurang daripada sebelum pemotongan gaji akibat pandemik.

Di antara mereka yang gajinya dikurangkan sebanyak 50%, ada yang memilih untuk meletakkan jawatan atau syarikat mereka ditutup.

Sekurang-kurangnya 10% hingga 15% PKS dibubarkan tahun lepas, kata Ding kepada The Malaysian Insight.

Penutupan PKS boleh dijangka dalam tempoh terdekat tetapi akan lebih sedikit berbanding tahun lepas manakala PKS yang lebih mapan memilih untuk menjual kilang mereka, tambahnya.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata setakat 29 Oktober kerajaan mengeluarkan RM19.21 bilion di bawah PSU bagi membolehkan syarikat mengekalkan pekerja dan mengelak kemerosotan dalam pekerjaan.

Peruntukan itu dikatakan memanfaatkan 356,193 majikan korporat untuk mengekalkan pekerjaan 2.94 juta pekerja tempatan.

Kerajaan membuat penyelarasan kepada pelbagai fasa PSU sepanjang tempoh wabak dalam dua tahun lepas seperti meningkatkan had gaji yang layak dan bilangan pekerja yang dilindungi.

Jabatan Perangkaan pula melaporkan sedikit peningkatan pada kadar guna tenaga memandangkan sekatan pergerakan terhadap Covid-19 dilonggarkan secara beransur-ansur dan lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.

Pengangguran pada Ogos menurun kepada 4.6% melibatkan 748,000 orang berbanding 778,200 orang pada Julai 2021 berikutan aktiviti ekonomi yang disambung semula.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata PSU membantu mengekalkan pekerjaan dan menjangkakan kadar pengangguran tahun depan menurun lagi kepada sekitar 4% disebabkan langkah lain.

Ini termasuk RM4.8 bilion kerajaan untuk langkah perlindungan pekerjaan (inisiatif Jamin Kerja) yang dijangka mewujudkan kira-kira 600,000 pekerjaan baharu.

“Menjelang suku ketiga tahun ini, aliran tunai lebih baik kerana kerajaan melonggarkan kebanyakan sekatan dan membenarkan kebanyakan sektor ekonomi beroperasi semula.

“Langkah-langkah sedemikian mungkin kerana program vaksinasi kebangsaan menunjukkan hasil positif dalam mendapatkan vaksinasi untuk penduduk,” kata Presiden MEF Dr Syed Hussain Syed Husman.

Beliau berkata menurut laporan terkini Skim Insurans Pekerjaan (EIS) pada 12 November, beberapa 36,253 pekerja sudah hilang pekerjaan.

Dianggarkan jumlah pemberhentian tahun ini akan kurang dari 70,000, tambahnya.

Ding meramalkan angka pengangguran akan mencecah sejuta untuk dua tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata syarikat bimbang mengenai perkara yang tidak dijangka seperti varian virus baharu dan wabak baharu yang kemudiannya boleh menyaksikan kembalinya penguatkuasaan sekatan pergerakan.

Oleh itu PKS mengambil pendekatan berhati-hati dan terus mengurangkan bilangan pekerja.

“Pandemik menyebabkan situasi yang tidak dapat diramalkan. Selepas kerajaan membenarkan aktiviti ekonomi dibuka semula, syarikat kemudiannya berdepan masalah logistik global.

“Jadual penghantaran terganggu dan barang tidak dapat dihantar seperti yang dijadualkan,” katanya sebagai contoh.

Kos operasi juga meningkat dan prosedur operasi juga berubah dengan pembayaran tunai semakin menjadi kebiasaan. – 1 Disember, 2021.

Iklan
Iklan