Iklan

Kemenangan BN di Melaka untungkan kumpulan Zahid, kata penganalisis

Mohd Farhan Darwis3 years ago1st Dec 2021Berita
Malacca state election tmi 32
Penganalisis politik menyifatkan kemenangan dua pertiga BN di PRN Melaka akan menguntungkan presiden Ahmad Zahid Hamidi dan penyokongnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2021.
Iklan

KEMENANGAN dua pertiga Barisan Nasional di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menguntungkan presiden Ahmad Zahid Hamidi dan penyokongnya, kata penganalisis politik.

Pensyarah politik di Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat kemenangan besar BN yang ditunjangi Umno itu meningkatkan imej mereka dalam kalangan ahli Umno, menjelang pilihan raya umum dan seterusnya pemilihan parti yang ditangguhkan sehingga hujung tahun depan.

“Jika berlaku pemilihan parti, atau PRU15, kelompok ini ada kelebihan berbanding kelompok yang dulunya begitu pesimis dan banyak kritik kepimpinan presiden.

“(Keputusan PRN Melaka) menunjukkan kepimpinan mereka diterima akar umbi Umno. Kalau ada pemilihan ia beri kelebihan kepada kumpulan ini, termasuk Najib (Razak) dan Mohamad Hasan,” katanya.

Najib yang juga bekas presiden Umno menyertai Mohamad yang diberi amanah sebagai pengarah pilihan raya BN giat berkempen di Melaka sejak penamaan calon 8 November.

Kumpulan penyokong Zahid juga dilihat lebih menonjol berkempen dan nampak bergerak dalam sebuah pasukan.

“Mereka berkempen sedaya upaya untuk pastikan mereka terus relevan, bukan sahaja dalam politik nasional tetapi juga politik kepartian.

“Mereka juga bergerak sebagai satu pasukan jadi tak timbul isu individu, mereka selalu dikaitkan pasukan presiden,” tambah Awang Azman.

Kumpulan ini dilihat bertentangan dalam beberapa isu dengan pemimpin Umno yang bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang kebanyakannya menteri dalam kabinet beliau.

Mereka ini lebih lunak bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) manakala kumpulan Zahid cenderung untuk Umno dan BN bergerak sendirian.

Kumpulan ini juga antara yang mendesak agar Umno mempercepatkan pemilihan parti dan diadakan sebelum PRU15, yang kini dipersetujui antara kerajaan dan Pakatan Harapan ditangguhkan sehingga selepas Julai 2022.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas BN menang PRN Melaka di Ayer Keroh pada 20 November lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2021.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Mohamad Ali Mohamad bagaimanapun menepis tanggapan kumpulan Zahid dapat kelebihan daripada keputusan pilihan raya negeri itu.

“Tidak ada kem (dalam Umno). Kem itu gambaran orang luar. Kita dalam Umno mendukung perjuangan secara bersama, semua bercita-cita untuk menjayakan parti, bukan individu,” katanya.

Sejak PRN Melaka, pemimpin Umno yang dianggap daripada kumpulan Zahid lantang menyuarakan pandangan PRU15 wajar diadakan segera untuk meraih momentum sokongan rakyat yang dianggap sudah beralih semula kepada BN dan Umno.

Pemimpin muda Umno Bastien Onn bagaimanapun berpendapat Umno tidak harus tergesa-gesa untuk mengadakan PRU15, biarpun menang besar di Melaka.

Exco Pemuda Umno itu mengingatkan peratusan keluar mengundi yang rendah di Melaka, membayangkan rakyat kurang berminat untuk menyertai pilihan raya.

“Bagilah masa sedikit, soalannya kenapa tergesa-gesa nak pilihan raya umum, bila nak buat? Kalau Umno rasa parti memikirkan soal rakyat nak gerakkan seluruh negara sertai demokrasi ia terpaksa melibatkan seluruh rakyat, adakah ianya selamat? 

“Rakyat tak mahu terlibat sangat dengan demokrasi… bukan saya kata, peratusan keluar mengundi di Melaka dah membuktikan,” katanya.

PRN Melaka menyaksikan hanya kira-kira 326,068 atau 65.85% pengundi keluar mengundi daripada keseluruhan 495,195 pengundi di negeri itu.

Selain tidak menepati sasaran 70% Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah itu juga jauh beza berbanding PRU14, yang menyaksikan 84.7% pengundi keluar mengundi.

Bastien sebaliknya berkata, Umno boleh menumpukan kepada pemilihan parti yang ditangguhkan sehingga 29 Disember tahun hadapan.

Ini kerana, pemilihan parti katanya tidak melibatkan mobilisasi rakyat secara keseluruhan sebaliknya hanya melibatkan sekitar 3 juta ahli Umno.

“Kalau nak ikutkan parti lain dah laksanakan pemilihan. Mereka tiada penangguhan, Umno juga kena tunjuk tauladan serupa.

“Kena tengok juga kewajaran, kalau dulu dikatakan tak perlu ada pemilihan kerana Umno parti besar, perlu menggerakkan ramai ahli jika nak buat pemilihan, tapi bila gesa segerakan pilihan raya umum itu akan menggerakkan rakyat juga, lagi teruk. 

“Buatlah dulu pemilihan parti tengok ada kesan tak… yang lebih mudarat PRU15, yang kurang mudarat pemilihan parti kerana libatkan 3 juta orang sahaja,” kata Bastien lagi.

Bastien juga mengingatkan Umno tidak boleh terlalu gembira dengan keputusan itu kerana momentum kemenangan calon mereka di Melaka juga harus diterjemahkan dalam PRU15.

“Nak kata kelebihan kepada Mohamad dan presiden tidak juga, sebenarnya kita menang dari segi taktikal tapi Umno kena kerja kuat untuk pastikan kerusi Parlimen (di Melaka) itu menjadi milik mereka juga dalam PRU15,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai Jeffridin Atan antara yang menyokong PRU15 disegerakan.

“Apabila mood rakyat memerlukan kestabilan, ekonomi bercambah, tumbuh dgn baik, kita rasa kalau mengikut keperluan parti mood akan dikekalkan sampai PRU15,” katanya.

“Mood pengundi dan rakyat masa kini tetap memilih BN dan kembali ke pangkuan BN kerana yakin dan percaya kestabilan politik hanya boleh diurus kerajaan BN.

“Wajar parti gesa kerajaan minta PRU15 disegerakan, namun kita tahu keputusan ini akan ditentukan perdana menteri,” katanya.

Minggu lalu Zahid berkata persefahaman antara kerajaan dan PH, yang menangguhkan pembubaran Parlimen sehingga selepas 31 Julai 2022 “bukan kitab suci” sehingga tidak boleh dirunding semula. – 1 Disember, 2021.

Iklan
Iklan