Najib pertahan dakwaan Bersatu mahu guling PM
Iklan
NAJIB Razak mempertahankan dakwaannya tentang usaha Bersatu menggulingkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Pekan itu merujuk laman Facebook Otai, mendakwa laman itu menyerang Ismail Sabri, dalam respons Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang sebelum ini menafikan perkara itu.
“Saya sertakan bukti-bukti dari page Otai dikawal Bersatu.
“Ini bukan pulak bukti bahawa Bersatu sedang serang PM Ismail ke?” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Hantaran Najib itu disertakan sekali dengan tangkap layar dari laman Otai yang memuatkan meme Ismail Sabri, menyindirnya kerana tidak dapat kawal harga barang.
Beliau turut mencabar Wan Saiful untuk mengulas perkara tersebut.
“Berani serang, berani buat tapi tak berani mengaku pulak tu,” kata Najib.
Pada Ogos lalu Naib Presiden Umno Ismail Sabri menggantikan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Umno dan Bersatu ketika ini bersama dalam kerajaan Persekutuan, dengan hubungan keruh antara kedua parti itu.
Awal hari ini, Wan Saiful menafikan dakwaan Najib yang Bersatu merancang menggulingkan Ismail Sabri untuk digantikan dengan Muhyiddin.
Wan Saiful mendakwa tuduhan Najib itu satu fitnah yang tidak menghairankan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kenaikan harga barang asas, bekas perdana menteri berkata kenaikan harga terbaharu ini juga disebabkan oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang dikepalai Muhyiddin.
Beliau berkata dasar PN ketika pandemiklah punca masalah yang berlaku dalam negara ini, malah menteri-menteri yang dilantik menguruskan ekonomi, kewangan, perdagangan serta pertanian semuanya lantikan Bersatu.
“Tapi parti Bersatu tuduh harga barang naik sebab Barisan Nasional menang pilihan raya negeri Melaka bukan pulak tuding jari ataupun lempar fitnah bodoh?” katanya.
Ismail Sabri hari ini mengakui harga barangan keperluan meningkat namun peniaga bukan puncanya.
Beliau berkata situasi tersebut berlaku disebabkan kos yang ditanggung di pelbagai peringkat rantaian bekalan sebelum sampai kepada peniaga. – 1 Disember, 2021.