Perlu dasar mapan untuk pupuk ekosistem seni, kata kurator galeri
Iklan
GALERI seni di Lembah Klang mengalu-alukan pengunjung secara langsung semula selepas sekatan pandemik Covid-19 dilonggarkan.
Sementara pembeli dan pengumpul kembali, kurator berkata mereka tidak boleh hanya bergantung pada jualan karya seni mengikut musim semata-mata. Sebaliknya, kerajaan perlu ada dasar yang dapat mengangkat “ekosistem seni” bertahan daripada krisis.
Jaafar Ismail, pengasas dan kurator Fergana Art, berkata galeri kecil, pusat seni persembahan, artis dan pengamal budaya dapat bertahan dengan geran, itu pun jika mereka layak jadi penerima waktu pandemik.
“PKP (perintah kawalan pergerakan) mengangkat isu kekurangan dan ketiadaan jaringan keselamatan ekonomi (untuk sektor seni dan budaya),” katanya.
Sejak Oktober lepas, Fergana Art tidak mengadakan sebarang pameran namun ia kini kembali dengan Pemulihan: Pembaharuan di galerinya di Publika, Kuala Lumpur, sehingga 5 Disember ini.
Pameran itu menayangkan respons rakyat Malaysia terhadap pandemik Covid-19.
Joshua Lim, pengarah galeri seni kontemporari A+ Works of Art, berkata sektor seni tidak boleh dinilai berdasarkan angka jualan.
“Pasaran itu satu hal, tetapi ekosistem seni yang lebih besar perlu jadi fokus.
“Kita kena sedar yang seni adalah ekosistem kompleks yang besar. Bagus dan penting untuk beri geran kepada artis. Tetapi mereka cuma sebahagian daripada ekosistem ini.
“Bagaimana dengan kurator dan penulis serta pentadbir? Bagaimana dengan ruang seni bebas yang kecil? Atau muzium dan ruang seni awam? Bagaimana dengan penerbitan dan media seni? Dan pendidikan seni?” katanya.
Lim menyatakan penting adanya visi strategik untuk seni sebagai ekosistem. Dengan cara itu, sektor ini boleh bertahan ketika krisis, ketika kerajaan cenderung mengabaikan dan menganggapnya sebagai tidak penting.
“Dari sudut lain, disebabkan krisis ini, ramai antara kita lebih menghargai apa yang benar-benar berharga, sama ada budaya, kesenian, warisan kita, atau persahabatan dan keluarga,” kata Lim.
Galeri seni yang lebih kecil hampir tidak bertahan semasa pandemik, sama seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun galeri antarabangsa yang besar dan mewah telah berkembang maju, tambahnya.
“Orang terkaya di dunia semakin kaya, dan mereka terus beli seni yang mahal. Tetapi bagi kebanyakan kita, ia satu perjuangan yang nyata.”
Jaafar berkata walaupun pengumpul kembali membeli seni, beliau tidak pasti sama ada permintaan akan bertahan atau berkembang. Secara keseluruhannya, permintaan telah menyusut.
“Orang ramai kebanyakannya suka mengikut. Ini adalah tindak balas langsung dan segera untuk bebas daripada perangkap sekatan. Adakah ini mampan? Saya tidak tahu.”
Pandemik juga menyebabkan Fergana Art mengkaji semula model perniagaannya.
“Kami perlu menilai bahagian permintaan dengan lebih agresif dan berhati-hati.
“Sayangnya, model lama yang sudah dicuba dan diuji untuk khidmat nasihat dan perantara seni serta estetik, yang merupakan fungsi teras model galeri, kini jadi kurang berdaya maju. Sama juga situasi ini dengan artis,” katanya.
Ini bermaksud perlu meneroka alternatif digital, tetapi Jaafar pada masa ini ragu-ragu jika ia boleh tarik pembelian sebenar.
Tingkat penghargaan terhadap seni
Lebih ramai rakyat Malaysia perlu menghargai seni jika galeri dan artis mahu bertahan.
Galeri G13 di Petaling Jaya semakin menarik minat golongan muda dan pembeli baharu daripada generasi ini.
“Pengunjung mula datang ke galeri kami sebaik sahaja sekatan dilonggarkan. Kami jumpa beberapa pengumpul muda juga,” kata pengarah Galeri G13 Kenny Teng.
“Saya lihat semakin ramai pengunjung dari generasi muda, berbanding sebelum ini.”
Galeri G13 kini memaparkan ‘The Moderns Across Generations’ - pameran berkumpulan oleh artis tempatan, Jolly Koh, Sharifah Fatimah, Tajuddin Ismail dan Awang Damit Ahmad.
Ia juga akan mengadakan pameran solo ‘Sirik-Sirik Alas’ oleh Nik Mohd Husyaidie dari 10 hingga 24 Disember, serta pameran solo oleh Koh pada Januari 2022 untuk memperingati hari lahirnya yang ke-80.
Tambah Teng program seni perlu diperbanyakkan untuk tingkatkan minat rakyat Malaysia tentang seni.
“Saya harap akan ada lebih banyak program seni, dalam dan luar negara, yang disokong oleh kerajaan.. Penting untuk promosikan seni dan budaya kita,” katanya.
Teng mengulas kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkata artis Malaysia perlu akses yang lebih baik dalam pasaran Asean.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan membelanjakan RM22 juta dalam tempoh 14 bulan lalu untuk memanfaatkan lebih 8,000 artis di bawah Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana).
“Cendana telah memainkan peranan penting membantu ekonomi seni melalui penajaan program seni semasa pandemik.
“Ini bukan sahaja membantu artis yang terlibat, tetapi juga industri yang berkait dengan seni,” kata Teng.
Pameran seni lain untuk bulan Disember ini termasuk:
- Malaysia Art Ecosystem Festival di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, dari 3 hingga 5 Disember.
- Pameran solo oleh Yim Yen Sum, “Line of Connection”, di galeri A+ Works of Art di Sentul pada 12 Disember.
- Pameran oleh Nadiah Bamadhaj, “The Inconsistencies of Success”, kerjasama antara A+ Works of Art dan SSS: Small Shifting Space, di Jalan Petaling, 12 Disember. – 2 Disember, 2021.