Iklan

Pengusaha PKS Johor optimis VTL rancakkan semula perniagaan

Khoo Gek San3 years ago2nd Dec 2021Berita
Tambak johor
Perniagaan di Johor naik sehingga 20% sejak Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura dilancarkan pada 29 November lalu, kata pengusaha PKS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2021.
Iklan

LALUAN Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura yang dilancarkan pada 29 November lalu memberi harapan kepada sektor perniagaan di Johor untuk pulih semula, kata pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negeri itu.

Pembukaan sempadan kepada individu yang sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 dan tanpa perlu menjalani kuarantin itu akhirnya membolehkan rakyat Malaysia yang hampir dua tahun terkandas di Singapura pulang ke tanah air.

Dan susulan pelancaran VTL juga, para peniaga di Johor optimis ia akan merancakkan kembali perniagaan mereka. Peniaga bagaimanapun bimbang dengan kemunculan varian baharu Covid-19, Omicron.

Presiden Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Johor Yaw Boon Choon berkata pelancaran VTL yang dinanti-nantikan sejak lebih setahun lalu diharapkan akan merangsang perniagaan di Johor yang lesu akibat pandemik Covid-19.

“Pengunjung di medan selera sekarang bertambah dan peniaga berkata perniagaan mereka naik 10 hingga 20%,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Yaw juga berkata beliau berharap pelancong dari Singapura akan kembali merancakkan ekonomi Johor dan Melaka.

Ekonomi Johor yang banyak bergantung kepada pelancong dari republik itu terjejas teruk ekoran sempadan ditutup bagi membendung penularan Covid-19.

Presiden Persatuan PKS Johor Selatan James Tan Tian Chong bagaimanapun khuatir pembukaan sempadan negara di Johor akan meningkatkan risiko jangkitan varian Omicron.

“Masih banyak yang kita belum tahu tentang varian Omicron. Jika varian ini menular dalam negara, ia mungkin akan mencetus gelombang baharu,” katanya.

Menurut Tan, masih sukar untuk mengukur bagaimana VTL akan meningkatkan ekonomi Johor sejak VTL dilancarkan pada Isnin lalu, namun yakin ia akan membawa impak positif.

“Sebanyak 80% perniagaan di Johor adalah dalam sektor perkhidmatan, selebihnya adalah industri pembuatan, elektronik, kimia, perabot dan pelancongan.

“Walaupun VTL boleh merangsang ekonomi, PKS sedang berdepan inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kos operasi yang meningkat,” kata Tan.

Tambahnya, PKS terpaksa menempuh banyak halangan untuk pulih sepenuhnya selepas terjejas akibat pandemik Covid-19. Kesukaran itu katanya diburukkan lagi dengan kos penghantaran yang meningkat sebanyak 30%.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam berkata pengembara VTL antara Malaysia dan Singapura sama ada menggunakan jalan darat atau udara digalakkan membuat ujian kendiri pada hari ketiga dan ketujuh selepas tiba di negara ini, sebagai langkah kawalan dan pecegahan varian baharu Omicron.

Keputusan ujian pengesanan itu katanya perlu dilaporkan melalui aplikasi MySejahtera.

Varian Omicron dikatakan mempunyai sehingga 50 mutasi, dan boleh merebak lebih cepat berbanding varian Covid-19 lain seperti Delta.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran risiko penyebaran varian Omicron di seluruh dunia sangat tinggi.

Susulan kemunculan varian itu juga kerajaan menangguhkan peralihan negara ke fasa endemik. – 2 Disember, 2021.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan