Iklan

Penganalisis jangka peratus mengundi PRN Sarawak rendah seperti Melaka

Desmond Davidson3 years ago3rd Dec 2021Berita
Sarawak (3)
Kebimbangan pengundi terhadap jangkitan Covid-19 dan cuaca monsun hujung tahun akan menjadi faktor peratusan keluar mengundi rendah pada PRN Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2021.
Iklan

PERATUSAN keluar mengundi yang rendah seperti di Melaka dijangka berulang dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak nanti, kata penganalisis politik.

Mereka menyatakan beberapa faktor termasuk kebimbangan dijangkiti Covid-19, cuaca monsun hujung tahun selain prosedur operasi standard (SOP) kempen ketat yang akan melenturkan semangat pilihan raya.

Jumlah keluar mengundi yang rendah juga dijangka membawa khabar buruk buat DAP, kata James Chin, pakar Asia di Universiti Tasmania.

Chin menjangkakan peratusan keluar mengundi rendah di kebanyakan kubu kuat DAP di kawasan bandar berikutan kebimbangan pengundi warga emas Cina terhadap jangkitan Covid-19.

“Mereka takut keluar dan dijangkiti,” katanya.

Beliau berkata walaupun jika mereka keluar mengundi, ia mungkin dalam jumlah yang sedikit sahaja.

Tambah Chin, ia akan memberi kesan besar kepada prestasi DAP sebagai tunjang dalam Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata walaupun DAP akan dapat lebih sedikit undi disebabkan peratusan keluar mengundi yang rendah, “itu tidak bermakna mereka akan hilang kerusi… mungkin satu atau dua (hilang)”.

“Mereka secara umumnya akan berharap pada undi Cina. Cuma margin kemenangan mereka akan berkurang.”

Wakil Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk kerusi Stakan di Kuching, George Young Si-Ricord Jr berkata keadaan sekarang dan menjelang hari mengundi pada 18 Disember sememangnya tidak kondusif untuk pilihan raya.

Seperti Chin, beliau juga bersetuju ramai rakyat Sarawak bimbang dijangkiti Covid-19.

Selain itu, Young berkata cuaca akhir tahun mungkin tidak sesuai untuk orang ramai keluar mengundi.

Beliau berkata peratusan keluar mengundi dalam PRN Melaka cuma sekitar 66%, peratusan yang disifatkannya sebagai “rekod terendah” untuk negeri itu.

Katanya seramai 169,127 pengundi tidak membuang undi.

Umno yang memenangi pilihan raya dengan majoriti dua pertiga dalam PRN Melaka memperoleh 122,741 undi atau cuma 38.3% daripada jumlah undi manakala PH mendapat 117,163 undi, atau 36.6%.

“Perbezaan antara prestasi BN dan PH secara hanya 5,578 undi dan secara relatifnya hanya 1.7%.

“Angka itu bagaimanapun, diterjemahkan kepada kemenangan besar bagi BN dari segi kerusi yang dimenangi,” katanya merujuk kepada 21 kerusi yang dimenangi parti Melayu itu untuk memperoleh majoriti 75% daripada 28 kerusi DUN Melaka.

PH cuma memperoleh 5 kerusi dalam PRN Melaka. – 3 Disember, 2021.

Berita penuh di sini. 

Iklan
Iklan