Iklan

Pakar gesa pendekatan dasar holistik tangani isu harga makanan

Raevathi Supramaniam3 years ago3rd Dec 2021Berita
Covid-19 pj oldtown market 04
Harga sayur melambung tinggi baru-baru ini, ada yang mencecah 200%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2021.
Iklan

PENYELESAIAN mapan kepada isu harga makanan yang tinggi terletak pada dasar holistik dan bukannya tindak balas spontan kerajaan, kata pakar keselamatan makanan dan ekonomi.

Ini termasuk kaedah pertanian intensif serta penggunaan teknologi moden untuk menjana hasil lebih tinggi dan tahap mampu diri, bagi mengurangkan pergantungan Malaysia kepada import makanan.

Manakala yang lain menyeru kerajaan meningkatkan penguatkuasaan dan mengatasi isu orang tengah daripada rantaian bekalan untuk mengelakkan kenaikan harga.

Dr Larry Wong Chee Yoong, pengarah program teknologi, inovasi, alam sekitar dan kemampanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) berkata untuk memastikan terdapat jaminan makanan dan pemakanan di Malaysia, negara memerlukan bimbingan atau pendekatan “daripada bahan mentah kepada juadah” bagi membangun masa depan lebih baik selepas Covid-19.

“Malaysia cenderung fokus kepada pengeluaran atau berasaskan pengguna, yang bermaksud memberi tumpuan kepada akhir bekalan agromakanan atau rantaian nilai dan bukannya pelbagai segmen urutan rantaian bekalan secara holistik dan dengan cara poli-sentrik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kita perlu sedar agar tidak terbuai dengan penyelesaian jangka pendek atau tindak balas spontan yang sebahagian besarnya menangani dan merawat gejala dan bukannya punca asas.”

Harga sayur melambung tinggi baru-baru ini, ada yang mencecah 200%. Petani menyalahkan beberapa faktor seperti kekurangan buruh, kos bahan input yang lebih tinggi, perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan.

Wong berkata lonjakan harga barangan bukan sekadar masalah yang dihadapi oleh petani atau pengguna.

Ia adalah isu kolektif yang memerlukan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengatasinya.

Ketika Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menubuhkan pasukan petugas untuk mengkaji harga racun perosak dan baja yang meningkat sebanyak 200%, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang meneliti untuk menurunkan harga barang.

Bagaimanapun kata Wong, ini hanyalah langkah sementara yang akan merugikan petani kerana margin keuntungan mereka semakin mengecil. 
Ia akhirnya akan menyaksikan kerajaan mungkin memberi subsidi kepada petani dan pengguna.

Subsidi juga tidak akan mampu bertahan dalam jangka panjang, katanya.

Berfikir di luar kotak

Wong berkata terdapat faktor lain yang nampaknya tidak berkaitan perlu dilihat oleh kerajaan. Ini termasuk ringgit yang lemah kepada dolar AS, kemarau, hujan dan serangga perosak, kenaikan harga tenaga serta harga gandum dan jagung.

“Indeks harga makanan antara tahun lepas dan tahun ini meningkat sebanyak 30%. Harga komoditi dikaitkan dengan makanan, bahan api dan kewangan; ia semua saling berkaitan.”

Wong mencadangkan agar pemimpin kerajaan berfikir di luar kotak dan mempertimbangkan perdagangan balas, di mana Malaysia menggunakan minyak sawit untuk berdagang bagi komoditi tidak dimilikinya. – 3 Disember, 2021. 

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan