Pembeli Lembah Klang buru sayur lebih murah
Iklan
PENGGUNA di Lembah Klang memburu harga sayur-sayuran yang paling berpatutan di pasar, pasar raya dan juga kedai serbaneka untuk lebih berjimat.
Pengguna yang ditemui The Malaysian Insight di pasar basah Chow Kit dan Pudu berkata mereka tidak ada pilihan selain mencari harga paling murah kerana hampir setiap harga barang makanan naik mendadak.
Ini berikutan laporan mengenai harga sayur-sayuran yang meningkat sehingga mencecah 200% minggu lepas.
Walaupun harga barangan runcit kini lebih mahal, ia masih pilihan yang lebih murah berbanding makan di luar, terutamanya bagi mereka yang ada keluarga besar, kata mereka.
Sementara yang lain pula berkata kini mereka berbelanja jumlah wang yang sama untuk jumlah barangan yang lebih sedikit.
Nizam, 38, berkata, dia cuma ke pasar Chow Kit untuk beli daging dan ikan segar, manakala untuk sayur dia lebih suka beli di tempat lain.
“Sayur-sayuran yang saya beli di sini (Chow Kit) cuma ulam seperti ulam raja dan kacang botor,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Sayur-sayur lain saya cari di tempat lain, sama ada di Pasaraya NSK atau kedai serbaneka berhampiran rumah saya sebab harganya lebih murah.”
Nizam berkata, dia dapat rasa perbezaan ketika membeli-belah minggu ini kerana terpaksa bayar lebih untuk jumlah barangan yang sama seperti sebelum ini.
“Harga sayur-sayuran di pasar dan di tempat lain boleh berbeza sampai RM5. Jadi saya rajinkan diri cari yang lebih murah di tempat lain.
“Dua minggu lepas waktu saya beli-belah di sini saya belanja kira-kira RM50, hari ini untuk jumlah yang sama saya terpaksa keluarkan RM90.”
Dia juga memilih untuk kurang membeli buat keluarganya kerana dia terpaksa bayar lebih untuk barang yang sedikit.
“Memandangkan kami cuma masak untuk makan malam dan kadang-kadang kami makan di luar, jadi kami tak simpan banyak bekalan. Kami beli barang bila perlu sahaja.”
Harga sayur yang naik mendadak termasuk brokoli dan kubis bunga yang diimport dari China serta sayur-sayuran hijau berdaun dari Cameron Highlands.
Petani menyalahkan pelbagai isu termasuk cuaca, kekurangan buruh, peningkatan kos pertanian dan isu rantaian bekalan yang menyebabkan harga naik.
Di Chow Kit, brokoli dan kubis bunga dijual antara RM16 hingga RM17 sekilogram berbanding RM6 hingga RM7 sebelum ini.
Harga sayur-sayuran ini dilaporkan melambung tinggi akibat kesan musim sejuk di China.
Kailan dijual pada harga RM13 sekilogram, kacang buncis naik kepada RM12/14 sekilogram daripada RM6 sebelum ini manakala kacang panjang kini RM9 sekilogram berbanding RM6 tiga hari lepas.
Mahidin, 68, yang tinggal di Kampung Baru, sering mengunjungi pasar tersebut.
Ketika ditemui pada pagi Jumaat, beliau mempunyai senarai bahan yang perlu dibeli untuk membuat sup tulang.
“Daging lembu kini berharga RM71 untuk 2.5kg. Ketumbar pun dah naik harga,” katanya.
Semakan di pasar itu bagaimanapun menunjukkan harga daging lembu kekal sama, dengan daging lembu import berharga RM20 sekilogram, turun daripada RM24.
Beg beli-belah kini ringan
Di pasar Pudu, pengguna turut merungut kerana harga barang naik, tetapi masih ramai yang mengunjungi pasar berkenaan.
Jayasri, 44, dari Desa Petaling sering mengunjungi pasar daging segar itu.
Sebelum ini dia mampu membeli semua barangan runcitnya dengan harga RM150, kini, dia terpaksa belanja dua kali ganda untuk jumlah yang sama.
“Saya baru beli 1.5kg daging kambing pada harga RM57 dan 1.5kg ayam dengan harga RM37 serta beberapa sayur-sayuran. Saya telah belanja RM143 daripada RM300 yang saya bawa hari ini.
“Sekarang ini saya lebih suka beli sayur-sayuran yang dijual secara ikat berbanding yang dijual ikut berat. Yang jual longgok jauh lebih berpatutan.”
Satu kilogram ayam dijual pada harga RM9.80 di pasar itu manakala daging kambing dijual pada harga RM34 sekilogram.
Jayasri yang membeli-belah untuk tiga ahli keluarganya berkata dia juga mengelak daripada membeli sayur mahal, sebaliknya memilih alternatif seperti terung, lobak merah, tomato dan kubis.
“Biasanya saya beli sayur di NSK, tetapi saya datang ke sini hari ini sebab mahu membeli daging kambing segar,” katanya menambah harga sayur-sayuran di NSK juga telah meningkat.
“Timun kini RM3.50 sekilogram tetapi kualitinya sangat teruk.”
Seorang lagi pembeli, Khadijah, 65, berkata, dia tidak berbelanja lebih tetapi beg beli-belahnya semakin ringan.
“Saya datang sini setiap dua minggu dan bajet saya sentiasa RM300. Walaupun selepas harga naik, saya masih belanja dengan jumlah wang yang sama, tetapi saya tidak dapat banyaklah.
“Cili api kini RM20 sekilogram dan saya cuma beli RM7 sebab ia sangat mahal. Begitu juga dengan daun saderi (daun sup), dulu RM1 untuk satu ikat, sekarang harganya dua kali ganda tetapi saya dapat kurang.”
Khadijah berkata walaupun harganya lebih mahal, dia juga tidak ada pilihan selain membeli barangan runcit kerana dia ada empat mulut untuk disuap di rumah. – 4 Disember, 2021.