Iklan

Peniaga mengeluh harga barang naik jejaskan keuntungan

Raevathi Supramaniam3 years ago4th Dec 2021Berita
 20211203 tmihasnoor -14
Peniaga nafi mengaut keuntungan dengan kenaikan harga pasaran sedangkan mereka membeli daripada pemborong pada harga lebih tinggi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Disember, 2021.
Iklan

KENAIKAN harga barang keperluan bukan sahaja menjejaskan pengguna tetapi juga peruncit, yang berkata mereka dipersalahkan kerana kenaikan harga tetapi menegaskan perkara itu turut dialami mereka.

Peniaga runcit dan penjual daging yang bercakap dengan The Malaysian Insight di pasar basah Chow Kit dan Pudu berkata kos yang tinggi juga menjejaskan keuntungan mereka.

Mereka berkata tidak adil bagi pengguna menganggap peruncit mengaut keuntungan sedangkan mereka membeli daripada pemborong pada harga lebih tinggi.

Yap, 64, penjual sayur di Chow Kit berkata hampir pelbagai jenis sayur-sayuran naik harga kerana cuaca.

“Selagi cuaca tidak bertambah baik, tidak kira apa yang diramalkan kerajaan, harga tidak akan turun,” katanya ketika ditemui di gerainya.

“Harga barangan ditetapkan oleh pasar borong. Memandangkan kami membeli pada kos lebih tinggi, kami tidak mempunyai pilihan selain menjualnya pada kadar itu atau berisiko kerugian wang.”

“Disebabkan musim hujan, petani di Cameron Highlands juga terpaksa menggunakan lebih banyak baja, yang menyebabkan kos meningkat lagi. Sayur-sayuran yang diimport dari China naik kerana musim sejuk di sana.

“Apabila kurang bekalan, sudah tentu harga akan naik kerana kami tidak dapat memenuhi permintaan.”

Yap menjual brokoli dan kubis bunga pada harga RM15 dan RM17 sekilogram. Kedua-duanya diimport dari China.

Sayur lain seperti kailan kini berharga RM13 sekilogram manakala kacang panjang yang dahulu berharga RM5 hingga RM6 sekilogram naik kepada RM9.

“Disebabkan hujan, kualiti sayur yang kami dapat juga sangat teruk tetapi pelanggan masih membeli walaupun kualiti tidak begitu baik dan harga mahal. Satu-satunya yang berbeza ialah mereka mengurangkan kuantiti pembelian.”

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata peruncit tidak boleh dipersalahkan kerana harga tinggi disebabkan peningkatan kos dalam pelbagai peringkat rantaian bekalan.

Beliau meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi menyelesaikan isu ini.

Ayam mahal

Mathawan, 52, yang kebanyakannya menjual sayur-sayurannya ke restoran, berkata menerima banyak aduan daripada pelanggan yang tidak berpuas hati.

“Sebenarnya adalah perkara biasa harga naik pada penghujung tahun, ini berlaku setiap tahun sehingga musim hujan berakhir.

“Pelanggan saya kebanyakannya restoran dan mereka merungut kerana harga sayur terlalu tinggi tetapi mereka tidak boleh menyalurkan kos kepada pelanggan mereka.”

Ayam segar adalah satu lagi barangan penting yang naik harga.

Semakan pegawai penguat kuasa Pertanian dan Industri Makanan pada 10 September lalu mendapati ayam segar berharga RM8.83 sekilogram. 

Menjelang Deepavali, apabila ayam segar dimasukkan dalam senarai barangan terkawal harga, ia berharga RM9.50 sekilogram.

Hari ini, harga ayam segar turun naik antara RM9.50 hingga RM9.80 sekilogram.

Shah Herey, 29, yang menjual ayam di Chow Kit selama 10 tahun berkata harganya tidak pernah naik setinggi ini.

“Ia biasanya dijual pada harga RM7.50 sekilogram tetapi hari ini harganya RM9.50 sekilogram. Pelanggan saya masih bersedia untuk membeli, tetapi mereka membeli lebih sedikit.

“Ada yang memilih untuk membeli potongan daging lembu yang lebih murah,” katanya.

Harga daging lembu kekal stabil pada RM20 sekilogram bagi daging lembu import Australia.

Malah ayam sejuk beku yang diimport dari Thailand kini harganya lebih mahal, tambahnya.

“Sebungkus ayam tanpa tulang dari Thailand dahulu berharga RM20; kini kita melihat ia dijual pada harga RM26.

“Pelanggan saya tidak akan membeli ayam sejuk beku kerana harganya terlalu mahal. Selalunya restoran yang membelinya.”

Baru-baru ini kerajaan berkata akan mengimport 200 kontena ayam sejuk beku bagi membolehkan orang ramai mendapatkan ayam pada harga lebih rendah.

Di pasar Pudu, ramai peniaga menjual sayur-sayuran mereka secara ikat untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Lee, 43, berkata dia tidak kisah menjual sayur-sayuran itu secara ikat pada harga lebih rendah asalkan stoknya dapat dihabiskan pada penghujung hari.

“Saya sudah mahu tutup, jadi tidak kisah untuk menjualnya pada harga yang lebih murah,” katanya.

Selain sayur, ayam segar turut mengalami kenaikan harga sehingga mencecah RM9.80 sekilogram. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Disember, 2021.

Orang tengah kaut untung

Hari Krishnan, 58, yang mengusahakan gerai keluarga di pasar itu sejak lebih 45 tahun lalu berkata, ramai pelanggannya kurang membeli berikutan harga mahal.

“Brokoli dari China kini berharga RM13 sekilogram manakala kubis bunga dari India berharga RM12 sekilogram, jauh lebih murah berbanding dari China yang dijual pada harga RM17 sekilogram.

“Kailan berharga RM10 sekilogram, kacang panjang RM10 sekilogram, dan bok choy RM7 sekilogram.”

Krishnan berkata ramai pelanggannya mencari alternatif yang lebih murah.

“Mereka membeli lebih banyak terung dan peria iaitu 3 sekilogram pada harga RM10 dan bendi, yang berharga RM5 sekilogram.”

Seorang penjual yang tidak mahu namanya didedahkan menyalahkan pihak berkuasa kerana tidak mengambil tindakan terhadap orang tengah yang mengaut keuntungan.

“Pegawai penguat kuasa datang ke sini untuk memeriksa harga sayur yang kami jual tetapi bukan kami yang menentukan harganya.

“Broker atau orang tengah menjualnya pada harga lebih tinggi kepada pemborong yang seterusnya menjualnya kepada kami pada harga jauh lebih tinggi.

“Apabila kami menjualnya untuk mendapatkan keuntungan RM1 atau RM2, kami yang dipersalahkan dan didenda,” kata penjual itu.

Penjual ayam, Mahmud, 45, turut berasa tempias kerana pelanggannya semakin kurang memakan ayam berikutan harganya.

“Pembekal menaikkan harga ayam segar tetapi mereka tidak memberi alasan kepada kami. Kini harganya RM9.80 sekilogram, pelanggan saya yang sebelum ini membeli dua ekor ayam segar mungkin hanya membeli seekor dan yang pernah membeli tiga ekor hanya membeli dua ekor,” katanya.

Mahmud berkata beliau tidak mengaut banyak keuntungan walaupun harganya tinggi kerana tidak mengenakan bayaran bagi membersihkan atau memotong ayam.

“Pelanggan mahu kami membersihkan, memotong dan juga membuang kulit. Saya perlu mengupah pekerja untuk melakukannya tetapi tidak mengenakan bayaran kepada pelanggan saya bagi perkhidmatan ini.”

Satu-satunya kelebihan bagi Mahmud ialah ayam masih lebih popular berbanding daging lembu atau makanan laut.

“Seekor ayam boleh memberi makan kepada 10 ahli keluarga. Ia masih merupakan sumber protein yang jauh lebih murah.” – 4 Disember, 2021. 

Iklan
Iklan