Hanya 2 kontak rapat bagi kes indeks Omicron, kata Khairy
Iklan
DUA individu dikategorikan sebagai kontak rapat pembawa indeks Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.
Beliau berkata, pengesanan kontak dilakukan dengan bantuan syarikat penerbangan dan membabitkan penumpang yang duduk berhampiran pesakit indeks.
“Pengesanan kontak dilakukan dengan bantuan syarikat penerbangan. Siasatan kami mendapati empat baris pertama, empat baris belakang serta kiri dan kanan, hanya dua sahaja yang dikategorikan sebagai kontak rapat.
“Kedua-duanya bukan warganegara dan disahkan negatif Covid-19 yang dijalankan semasa ketibaan dan sebelum memenuhi tempoh kuarantin,” katanya pada sidang media.
Khairy berkata, pengesanan kontak juga termasuk mereka yang pergi ke kedai bebas cukai, Eraman dan medan selera di KLIA kerana pesakit indeks pernah melawat tempat itu.
“Kami mendapati mereka yang berada di sana pada masa yang sama dengan pesakit (indeks) tidak dikategorikan sebagai kontak rapat.
“Pejabat saya akan meneruskan pemeriksaan untuk memastikan tiada kontak rapat.”
Kementerian Kesihatan juga sedang menentukan di mana pesakit indeks itu dijangkiti, katanya.
“Pesakit indeks melakukan ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan, jadi kami tidak tahu di mana dia dijangkiti.
“Nilai ambang kitarannya (CT) juga tinggi, bermakna dia berada di penghujung jangkitan. Pakar sains kami sedang melihat apa yang sebenarnya berlaku.”
Semalam, Khairy berkata, kes pertama varian Omicron Covid-19 dikesan di Malaysia.
Pembawa Omicron itu adalah pelajar bukan warganegara berusia 19 tahun yang belajar di Ipoh, Perak dan berasal dari Afrika Selatan, memasuki negara ini melalui Singapura.
Beliau berkata, pelajar itu memasuki Malaysia pada 19 November sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Omicron sebagai varian membimbangkan pada 24 November.
Keputusan ujian kedua juga kembali negatif untuk pesakit indeks dan tujuh yang lain, kata ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam.
Sebagai langkah kawalan, beliau berkata, pelancong yang tiba dari negara berisiko tinggi di pintu masuk antarabangsa KLIA akan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin.
Sementara itu, larangan perjalanan pada masa ini dilanjutkan ke lapan negara Afrika iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi akan diteruskan, katanya. – 4 Disember, 2021.