Iklan

Jangan panik dengan jangkitan Omicron, kata Khairy

Raevathi Supramaniam3 years ago4th Dec 2021Berita
50513324821 5a3887a310 b
Malaysia melarang kemasukan pengembara dari 8 negara Afrika susulan penularan Omicron. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2021.
Iklan

RAKYAT Malaysia tidak perlu panik mengenai varian Omicron yang dikesan di negara ini kerana langkah kesihatan awam semasa lebih ketat berbanding negara yang mempunyai kelaziman jangkitan Omicron, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Terdapat juga kekurangan data mengenai varian baharu itu, yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan, katanya.

“Jangan panik, kami sedang memantau keadaan. Sebenarnya kita tidak tahu banyak mengenai varian itu.

“Langkah kami adalah salah satu yang paling ketat di dunia. Kami juga mempunyai kadar vaksin yang tinggi dan stok yang mencukupi untuk dos penggalak dan kami mengoptimumkan sistem penjagaan kesihatan awam sekiranya kadar kemasukan ke hospital meningkat,” katanya pada sidang media.

Khairy berkata, kementerian itu sedang memantau tahap penularan, imuniti dan tahap keganasan penyakit itu.

“Kami berharap untuk mendapat data yang lebih jelas dalam dua minggu akan datang. Sementara menunggu data ini daripada negara dengan kelaziman Omicron, kami akan meneruskan langkah kesihatan awam seperti prosedur operasi standard (SOP) serta vaksinasi, terutamanya dos penggalak.”

Malaysia juga mengamalkan SOP yang baru kini diguna pakai negara yang melaporkan varian Omicron, katanya.

“Saya ada mendalami pengalaman mereka, larangan mereka masih longgar berbanding langkah yang dilaksanakan Malaysia.

“Sekarang mereka bercakap mengenai pelitup muka di kawasan tertutup, yang mana kita sudah amalkan. Dalam hal ini, dengan SOP sedia ada, Malaysia berada pada tahap yang amat berwaspada.”

Semalam, Khairy berkata, kes pertama varian Omicron Covid-19 dikesan di Malaysia.

Pembawa Omicron itu adalah pelajar bukan warganegara berusia 19 tahun yang belajar di Ipoh, Perak dan berasal dari Afrika Selatan, memasuki negara ini melalui Singapura.

Beliau berkata, pelajar itu memasuki Malaysia pada 19 November sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Omicron sebagai varian membimbangkan pada 24 November.

Sebagai langkah kawalan, beliau berkata, pelancong yang tiba dari negara berisiko tinggi di pintu masuk antarabangsa KLIA akan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin.

Malaysia melarang kemasukan pengembara dari Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi. – 4 Disember, 2021.

Iklan
Iklan