Iklan

Cipta meme duit NFT untuk persenda sistem perbankan

Raevathi Supramaniam3 years ago14th Dec 2021Berita
red hong yi facebook 051221
Seniman terkemuka Malaysia Red Hong Yi memulakan jejak NFT dengan mencipta meme wang kertas untuk mempersenda sistem kewangan sedia ada. – Gambar Facebook, 14 Disember, 2021.
Iklan

TOKEN bukan sepiawai (NTF) mewujudkan platform baharu untuk seniman menjual karya mereka, antaranya seniman terkemuka Malaysia Red Hong Yi.

Red dikenali ramai kerana mencipta potret pelakon Jackie Chan menggunakan penyepit kayu buluh dan baru-baru mencipta peta muka bumi mini diperbuat daripada mancis yang kemudiannya dibakar sebagai kulit muka majalah terkemuka dunia, TIME edisi perubahan iklim dunia.

Dalam cubaan pertamanya meneroka ruang NFT, beliau mencipta siri Memebank, di mana beliau mencetak duitnya sendiri untuk mempersenda wang fiat atau duit dikeluarkan bank.

 “Saya memikirkan apa yang hendak dicipta sebagai siri NFT dan saya teringatkan meme kerana ia mudah dikongsi dan kelakar dan memang dah wujud dalam internet,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Mata wang kripto adalah duit internet dan sesuatu yang boleh dipindah milik. Idea kripto adalah untuk akhirnya menggantikan perbankan konvensional dan duit kertas.

“Pandangan semasa adalah industri perbankan adalah kita akan terus bergelut dengan inflasi dan duit kertas tidak akan bernilai seperti sekarang lagi pada masa hadapan kerana pencetakan wang yang berterusan.

“Kemudian saya fikir kita akan cetak duit kita sendiri menerusi seni dan memperlihatkan kelemahan sistem sedia ada.”

NFT secara asasnya adalah unit data yang unik dan tidak boleh ditukar ganti. Seolah-olah seperti kad perdagangan. Apabila anda mendagangkan kad Pokemon untuk kad bola lisut misalnya, ia adalah barangan yang sangat berbeza dan mempunyai keunikan tersendiri.

Kebanyakan NFT adalah sebahagian daripada blok rantai Ethereum (ETH), yang juga sejenis mata wang kripto seperti bitcoin.

Wang kertas dicipta Red menampilkan karakter meme dan petanda berkaitan kripto bagi mengkritik sistem kewangan semasa.

Enam wang kertas yang diciptanya diinspirasi daripada Yuan China, Dolar AS, Yen Jepun, Pound British, Dolar Singapura dan Ringgit Malaysia.

Semuanya dijual menerusi Opensea, salah satu pasaran dalam talian NFT terbesar. – 14 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan