Pakatan Gasak mungkin goyah lepas penamaan calon PRN Sarawak hari ini
Iklan
KERJASAMA politik untuk kepentingan yang diadakan secara tergesa-gesa antara dua parti pembangkang berbeza matlamat, mungkin terputus apabila proses penamaan calon selesai tengah hari nanti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Dua parti itu yang digelar gabungan Gasak – Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dikatakan bakal bertembung di dua kerusi – kerusi majoriti Dayak di Bukit Semuja dan Dudong.
PBDSB ialah parti berasaskan kaum yang memperjuangkan hak Dayak sementara Aspirasi ialah parti hak negeri yang membawa referendum persatuan Sarawak di Malaysia.
Presiden PBDSB Bobby Williams kelihatan tidak begitu peduli dengan kemungkinan perpecahan itu.
“Perjanjian kami hanya secara lisan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata tidak patut wujud masalah antara kedua-dua parti kerana “tidak ada yang rasmi”.
“Hanya persefahaman lisan. Tiada kerjasama rasmi. Gasak bukan didaftarkan secara rasmi (sebagai satu gabungan),” katanya.
Williams berkata dua parti itu akan cuba untuk tidak bertembung dan jika berlaku keadaan sedemikian, mereka akan berlawan dengan adil.
PBDSB meletakkan 16 calon pada PRN kali ini iaitu di Opar, Bukit Semuja, Gedong, Bukit Begunan, Balai Ringin, Ngemah, Dudong, Pelagus, Katibas, Bukit Goram, Murum, Samalaju, Senadin, Marudi, Telang Usan dan Batu Danau.
PRN Sarawak dijadualkan 18 Disember ini dengan Gabungan Parti Sarawak dijangka bakal menawan kembali kedudukan mereka di negeri ini.
PRN Sarawak ke-12 akan bermula hari ini dengan proses penamaan calon di 82 pusat penamaan di seluruh negeri pada 9 Pagi.
PRN kali ini dijangka berbeza daripada PRN sebelum ini, bukan saja kerana pandemik Covid-19 yang sedang berlaku, tetapi kerana Sarawak adalah satu daripada dua negeri yang masih berada pada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
GPS diketuai ketua menteri merangkap presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abang Johari Openg yang beralih dari kerusi selesa Satok ke kerusi luar bandar Gedong, akan berdepan perlawanan lima penjuru.
Pakatan Harapan memperuntukkan kerusi untuk Amanah tetapi parti itu belum mendedahkan siapa bakal melawan Abang Johari.
Abang Johari menjadi wakil rakyat Satok selama lapan setengah penggal sejak 1981.
Parti pro kemerdekaan Parti Bumi Kenyalang (PBK) meletakkan calonnya Tomson Ango, PBDSB menamakan Lingga Atok dan PSB memilih ahli perniagaan Mohamad Sofian Fariz Sharbini. – 6 Disember, 2021.
Berita penuh di sini.