Iklan

DAP dakwa SPR manipulasi daftar pemilih 

Desmond Davidson3 years ago7th Dec 2021Berita
Zabah
Pemimpin DAP (dari kiri) Violet Yong, Chong Chieng Jen dan Michael Yong pada sidang media hari ini mendakwa SPR memanipulasi daftar pemilih. – Gambar The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.
Iklan

DAP mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) “bermain kotor” dengan memanipulasi daftar pemilih untuk memberi kelebihan kepada Gabungan Parti Sarawak yang cuba mendapatkan mandat baharu pada pilihan raya 18 Disember.

Parti itu berkata SPR mengalihkan pengundi dengan menukar tempat mengundi mereka.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, yang bertanding di Padungan, dan Violet Yong, mempertahankan kerusi Pendingnya, pagi ini mendakwa daftar pemilih tidak bersih dan DAP telah terkesan oleh tindakan itu.

Yong berkata ia merupakan taktik kotor dan GPS cuba memanipulasi pengundi untuk kelebihan mereka.

Pemimpin DAP itu malah mendedahkan seorang pengundi di kawasan Pending, Teng Lung Kai, mendakwa beliau yang didaftarkan di pusat mengundi di sebuah sekolah rendah di Taman Kenyalang di Kuching dipindahkan ke kampung halamannya di Sarikei, sebuah bandar di tengah Sarawak sejauh 148km.

Teng berasal dari Sarikei tetapi telah berpindah dan tinggal di Kuching dan dalam dua atau tiga pilihan raya lepas, beliau mengundi di sekolah rendah yang sama.

Chong berkata Teng, dan isterinya hanya menyedari pemindahan itu ketika Yong berkempen di kawasan perumahannya.

Yong berkata dalam masa setengah jam di kawasan itu, beliau menemui tiga kes, termasuk kes Teng.

“Saya dapati ramai pengundi telah ditukar tempat mengundi tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka.”

Yong berkata, satu lagi kes yang dikesannya melibatkan seorang pengundi wanita di kawasan Kota Sentosa yang biasanya mengundi di sekolah rendah Cina Jalan Penrissen sejauh 4 ½ batu mendapati pusat mengundi baharunya kini di Sibuti, sebuah bandar kecil luar bandar di utara Sarawak yang terletak kira-kira 480km.

“Kami mempunyai kes sebenar (manipulasi pengundi) di sini,” kata Yong.

Beliau berkata ia menunjukkan betapa tidak adilnya proses pilihan raya. – 7 Disember, 2021.

Iklan
Iklan