Dr Mahathir cabar pengkiritik buktikan rasuah
Iklan
ADA orang mahu saya dipenjarakan kerana mereka tidak dapat menunjukkan bukti saya terbabit dalam rasuah, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Beliau bercakap demikian pada pelancaran buku baharunya berjudul “Capturing Hope: The Struggle Continues for a new Malaysia” yang diadakan menerusi aplikasi Zoom.
Buku itu boleh didapati di kedai buku seluruh negara bermula 12 Disember.
Bekas perdana menteri itu berkata beliau sering dituduh rasuah, tetapi beliau bukan mahukan wang.
“Orang tuduh saya rasuah, tetapi tunjuklah bukti. (Kalau tidak) tentu saya sudah diheret ke mahkamah.
“Mereka mahu letak saya di dalam, tetapi mereka tidka boleh. Saya tidak peduli tentang wang, saya mahu keputusan,” katanya.
Dr Mahathir adalah perdana menteri yang paling lama berkhidmat iaitu 22 tahun, dengan pada masa sama menerajui Umno. Pada 2018 beliau kembali menjadi perdana menteri, bergabung bersama gabungan pembangkang Pakatan Harapan menewaskan bekas perdana menteri Najib Razak.
Khidmatnya sebagai perdana menteri kali kedua itu terhenti setengah jalan apabila kerajaan digulingkan menerusi Langkah Sheraton, membawa kepada peletakan jawatannya dan runtuhnya kerajaan PH selepas hanya 22 bulan memegang kuasa pentadbiran negara.
Jika diberi peluang menjadi perdana menteri sekali lagi, ahli Parlimen Langkawi itu berkata keutamaannya ialah menghapuskan pencuri Malaysia.
“Saya akan cuba menubuhkan kerajaan yang baik. Malaysia mempunyai pengalaman baik dan buruk tetapi kini ia digelar kleptokrasi.
“Kita perlu hapuskan pencuri. Kepimpinan tidak boleh rasuah.”
Dr Mahathir yang juga pengerusi Pejuang berkata parti itu tidak berniat untuk membentuk gabungan dengan parti pembangkang lain pada masa ini.
“Kami sendirian tetapi kita ada berbincang dengan parti lain.
“Populariti kami bersama rakyat, jika kami silap ambil orang, kami akan hilang populariti,” katanya. – 7 Disember, 2021.