PRU15 tentukan masa depan Malaysia, kata Dr M
Iklan
PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menentukan sama ada ahli politik korup terus mentadbir negara dan kerana itu ia akan jadi pilihan raya yang terpenting dalam sejarah Malaysia, kata Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata sekiranya kumpulan yang sama yang memimpin hari ini diberikan mandat sekali lagi dalam pilihan raya itu, masa depan Malaysia untuk beberapa dekad akan datang akan gelap.
“Saya melihat PRU15 sebagai pilihan raya yang paling penting dalam sejarah negara.
“Ia belum berlaku lagi. Sekiranya rakyat dirasuah dan mereka sokong pemimpin yang rasuah mereka, sebuah kerajaan yang buruk akan terpilih,” katanya.
Kerajaan yang buruk itu akan merasuah orang lain dan membuang sesiapa saja dengan sesuka hati mereka, tambahnya.
Jika itu berlaku, katanya Malaysia akan jadi sebuah negara yang gagal.
Dr Mahathir bercakap pada satu majlis dalam talian hari ini, menjelang pelancaran buku terbarunya bertajuk Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia pada hujung minggu ini.
“Kalau negara ini ditabdir oleh pemimpin korup, ia akan binasa dan jadi negara gagal. Kalau mereka (pengundi) menyokong parti yang bersih, kita boleh sekali lagi jadi harimau Asia,” katanya.
Merujuk perjalanan pilihan raya yang berlangsung baru-baru ini, Dr Mahathir berkata amalan duit adalah segala-galanya sudah kembali.
“Dalam pilihan raya hari ini, walaupun pengundi hanya diberi bungkusan makanan, mereka akan diberi duit. Dalam kes tertentu, pengundi disediakan pengangkutan ke pusat mengundi dan di dalam van mereka diberi duit.
“Apabila diberi duit, pengundi akan ambil duit dan undi orang yang beri mereka duit. Najib Razak ajar mereka ini, duit adalah segala-galanya,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, bagi sesetengah orang yang berpendapatan rendah, RM100 pun bagi mereka sudah banyak.
“Apabila orang miskin ditawarkan duit, susah untuk mereka menolak,” tambahnya.
Dr Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi mengingatkan pengundi muda supaya tidak cepat berpuas hati sebaliknya mereka harus mengundi pemimpin yang sebenar kerana ia akan menentukan masa depan mereka.
“Mereka lahir selepas negara membangun. Mereka nampak pencakar langit. Mereka tidak tahu sebelum seperti sekarang ini, kita dulu miskin.
“Tetapi mereka (pengundi muda) fikir ini sudah bagus, negara nampak elok dan mereka dapat biasiswa, pekerjaan yang baik dan mereka fikir keadaan akan selama-lamanya begini.
“Masa depan tidak statik, akan ada perubahan,” katanya. – 7 Disember, 2021.