Perbicaraan Najib Razak setakat ini, sebelum keputusan esok
Iklan
PERMOHONAN saat akhir Najib Razak untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuan terhadap sabitannya ditolak Mahkamah Rayuan hari ini yang turut menetapkan esok sebagai hari keputusan.
Pada Julai tahun lepas, bekas perdana menteri itu didapati bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah (CBT) dan salah guna kuasa berhubung dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim bersama Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera dengan sebulat suara menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu. Mereka berkata ia “tidak perlu”.
Mereka juga tegas mengenai kehadiran Najib di mahkamah dengan memberinya kata dua hari ini, sama ada muncul dalam talian atau berdepan waran tangkap, selepas peguamnya meminta penangguhan atas alasan Najib adalah kontak rapat kepada salah seorang peguam pembelanya yang positif Covid-19.
Najib dan pasukan peguamnya akan hadir secara dalam talian esok melalui aplikasi Zoom selepas hakim bertegas yang keputusan itu akan disampaikan esok.
Pendakwa raya ad hoc V. Sithambaram mengetuai pasukan pendakwaan.
Jika rayuan terhadap sabitannya ditolak esok, ahli Parlimen Pekan berusia 68 tahun itu boleh membuat satu lagi rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Kes ini menarik perhatian masyarakat kerana kali pertama bekas perdana menteri Malaysia didakwa dan didapati bersalah atas pelbagai pertuduhan.
Pembaca boleh mendengar senarai main podcast Perbicaraan SRC International yang disediakan oleh The Malaysian Insight, yang merakam perbicaraan 95 hari Najib.
Kes SRC merupakan kes pertama daripada beberapa perbicaraan rasuah yang dihadapi Najib berhubung skandal berbilion ringgit 1MDB.
Berikut garis masa kes SRC International
3 Julai, 2018
Najib Razak ditangkap di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur dan dibawa ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sebelum ditahan di sana semalaman.
4 Julai, 2018
Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kedudukannya berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta. Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
8 Ogos, 2018
Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah tersebut, yang dianggap hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
3 April, 2019
Perbicaraan bermula dan pihak pendakwaan membentangkan kes dengan seramai 57 saksi pendakwaan memberi keterangan.
11 November, 2019
Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie dan mengarahkan Najib membela diri atas kesemua tujuh pertuduhan.
3 Disember, 2019
Najib mula memberi keterangan selama 15 hari dengan pernyataan pembelaannya setebal 243 muka surat dan menjawab soal jawab pendakwa raya. Beliau menegaskan RM3.2 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya melalui 23 transaksi antara 2011 hingga 2013 kononnya merupakan sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.
11 Mac, 2020
Pihak pembelaan memuktamadkan kes itu selepas 33 hari perbicaraan di mana 19 saksi pembelaan memberi keterangan.
1 Jun, 2020
Mahkamah mula mendengar hujah lisan selama empat hari berturut-turut.
28 Julai, 2020
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan CBT dan tiga kes pengubahan wang haram, serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara, bagi satu pertuduhan salah guna kuasa.
Semua hukuman dijalankan serentak. Mahkamah juga membenarkan permohonan Najib menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuannya selesai, dengan jaminan RM2 juta dan dua penjamin.
5 April, 2021
Perbicaraan rayuan Najib bermula di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
18 Mei, 2021
Perbicaraan rayuan tamat.
23 November, 2021
Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember untuk menyampaikan keputusannya. Pada hari sama, Najib memohon untuk mengosongkan tarikh keputusan kerana beliau akan berada di Singapura sehingga 5 Disember. Mahkamah menolak permohonannya.
1 Disember, 2021
Najib memohon Mahkamah Rayuan membenarkan beliau mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya.
2 Disember, 2021
Najib berkata beliau tidak dapat perbicaraan yang adil. Beliau mendakwa berada dalam kegelapan kerana bukti penting telah disembunyikan daripadanya oleh beberapa individu.
6 Disember, 2021
Pasukan peguam Najib mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk menangguhkan perbicaraan dan keputusan permohonan selepas seorang peguam belanya disahkan positif Covid-19.
7 Disember, 2021
Mahkamah Rayuan menolak permohonan penangguhan dan kemudian selepas mendengar, menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu, menyebutnya “tidak perlu”. Mahkamah juga mengumumkan keputusan rayuan Najib terhadap sabitan kesalahannya akan disampaikan esok. – 7 Disember, 2021.