Penduduk tempatan tidak minat kerja buruh kerana dapat subsidi, bantuan, kata pengusaha
Iklan
PUTRAJAYA perlu mencari jalan untuk mengurangkan masalah kekurangan tenaga buruh yang teruk melibatkan pelbagai sektor di negara ini bagi mengawal harga barangan yang semakin meningkat, kata pengusaha perniagaan.
Menurut mereka penduduk tempatan tidak bersedia untuk mengambil banyak peluang pekerjaan ini kerana ia dianggap pekerjaan 3D iaitu berbahaya, kotor dan sukar.
Pemberian subsidi dan bantuan makanan yang berterusan oleh kerajaan juga menyebabkan penduduk tempatan leka serta tidak keluar mencari kerja.
Pengasas gergasi runcit Mydin Ameer Ali Mydin berkata lonjakan harga sayur-sayuran adalah isu serampang dua mata.
Pertama, hujan lebat dan banjir di Cameron Highlands dan kekurangan tenaga buruh di ladang.
“Cameron Highlands ditenggelami air selama dua minggu, jadi jelas sekali kami tidak boleh mendapatkan sayur-sayuran di sana. Cameron juga berdepan kekurangan buruh dalam kalangan pekerja asing,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Kerajaan mahu kami mengambil orang tempatan tetapi kerana gaji sekitar RM1,400 hingga RM2,000, kami tidak dapat pekerja dalam kalangan rakyat tempatan.
“Rakyat Malaysia tidak mahu bekerja keras, kerja 3D, hanya warga asing sanggup mengisi kekosongan itu. Selagi kami tidak menyelesaikan masalah ini, harga akan terus meningkat,” katanya.
Sejak beberapa minggu lalu harga sayur-sayuran meningkat sehingga ada yang mencecah 200%.
Petani menyalahkan gabungan isu seperti cuaca, kekurangan buruh dan kenaikan harga baja untuk kenaikan itu.
Sayur-sayuran yang diimport dari China seperti brokoli dan kobis bunga sebelum ini hanya sekitar RM6 hingga RM7 sekilogram namun kini dijual antara RM16 dan RM17.
Sayur-sayuran lain seperti kailan dijual pada harga RM13 sekilogram, kacang Perancis meningkat dari RM6 kepada RM12 dan RM14 sekilogram serta kacang panjang kini berharga RM9 sekilogram berbanding RM6 sebelum ini.
Penduduk tempatan elak kerja 3D
Ameer yang juga Presiden Pertubuhan Peruncit Bumiputera (BRO) berkata antara punca penduduk tempatan menjauhkan diri dari pekerjaan 3D adalah kerana pelbagai subsidi dan pemberian wang tunai yang disediakan kerajaan.
“Kerajaan sentiasa memberi bantuan makanan, jika mereka yang menerimanya berpuas hati, mereka tidak akan keluar bekerja,” katanya.
Ameer berkata Putrajaya juga perlu membuka lebih banyak tanah ladang dan membahagikannya kepada mereka yang mampu menanam sayur-sayuran dan bukannya kepada kroni mereka.
“Kita tidak seharusnya menyekat petani dari memohon tanah ladang dan kita juga harus menggalakkan mereka menanam sayur-sayuran berdaya saing,” katanya.
Memandangkan harga sayur-sayuran yang datang dari China semakin meningkat, Malaysia juga harus mencari pembekal lain, tambahnya.
Mengulas mengenai Program Penentukuran Semula Buruh (RTK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang membenarkan pekerja asing tanpa izin (Pati) Ameer berkata ini adalah risiko kepada majikan kerana tiada jaminan pekerja ini tidak akan melarikan diri selepas majikan menerima dokumen mereka.
Berdasarkan Indeks Harga Makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) yang dikeluarkan pada 2 Disember, purata komoditi makanan 134.4 mata pada November 2021, naik 1.6 mata (1.2%) daripada Oktober dan 28.8 mata (27.3%) dari November 2020.
Peningkatan terkini menandakan peningkatan bulanan selama empat bulan berturut-turut dalam nilai FFPI meletakkan indeks pada paras tertinggi sejak Jun 2011.
Walaupun harga kelihat seperti berada pada paras tertinggi sepanjang masa, ia masih lebih rendah berbanding 2011, katanya.
“Kerana Covid-19 semua harga naik, jadi anda rasa mahal tetapi dari segi sejarah harga masih lebih rendah dari 2011. Ia mahal kerana gaji kami terlalu rendah,” katanya.
Kekurangan tenaga kerja di restoran
Pengerusi Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata pertubuhan itu sudah menganjurkan dua kempen pengambilan pekerja dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Sosco) tetapi gagal mengambil mana-mana warga tempatan.
Memandangkan sektor makanan dan minuman bukan pekerjaan 3D, Jawahar juga berasa hairan kerana tidak ada yang hadir ke program pengambilan.
“Terdapat kira-kira 100,000 kekosongan dalam sektor itu namun mereka masih berusaha untuk mengisi jawatan tersebut.
“Kerajaan tidak membenarkan kami mengambil pekerja asing tetapi mereka juga tidak memberikan sebarang penyelesaian alternatif.
“Apa yang mereka mahu industri lakukan?,” tanya Jawahar.
Di restoran, gaji seorang pekerja adalah berdasarkan pengalaman, kebolehan dan jawatan yang disandang, katanya.
Tambahnya, sudah agak lama penduduk tempatan tidak memohon untuk bekerja dalam sektor itu.
“Ahli kami kekurangan sekurang-kurangnya 60% kakitangan. Mereka mungkin mempunyai tukang masak tetapi kakitangan pembersihan tidak mencukupi,” katanya.
Pada Jun kerajaan mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor dengan rakyat tempatan diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan pekerjaan tersebut. – 8 Disember, 2021.