GPS boleh kalah 10 kerusi PRN Sarawak, kata PBB
Iklan
GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) boleh hilang sehingga 10 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk satu kerusi bebas, kata Abdul Karim Hamzah.
Naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata bagaimanapun kekalahan itu tidak mampu menghalang gabungan itu mengekalkan majoriti dua pertiga DUN 82 kerusi Sarawak.
Beliau juga bagaimanapun tidak menyebut calon bebas berkenaan atau 10 calon kerusi tersebut tetapi ramai mengandaikan ia merujuk kepada Naib Pengerusi Bersatu Sarawak Ali Biju.
Daripada 30 calon bebas yang bertanding dalam PRN, semuanya tidak dikenali kecuali Ali Biju yang juga timbalan menteri tenaga dan sumber asli.
Ali Biju menjadi berita hari ini selepas dikenakan kompaun RM4,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PRN pada hari penamaan calon 6 Disember lepas. Beliau bertanding untuk mengekalkan kerusin yang dimenanginya di bawah tiket PKR pada pilihan raya 2011.
Beliau juga merupakan salah seorang daripada tiga ahli Parlimen PKR Sarawak yang dipecat kerana peranan mereka dalam Langkah Sheraton.
Pemecatan beramai-ramai itu menyebabkan PKR tidak mempunyai sebarang wakil dalam DUN Sarawak.
Satu kerusi yang goyah mungkin di Dudong, Sibu.
Kerusi itu secara tradisinya milik Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tetapi presiden sebuah lagi parti komponen GPS, Parti Demokratik Progresif, Tiong King Sing berjaya merebut kerusi itu.
Ini telah menimbulkan kemarahan penyokong SUPP dengan pakar politik Universiti Tasmania James Chin berkata GPS hanya ada 50% peluang untuk merampasnya.
Secara keseluruhan, Karim berkata tidak akan jadi masalah bagi GPS untuk mendapat majoriti dua pertiga atau 55 kerusi.
“GPS boleh menang sekurang-kurangnya 55 kerusi.”
Begitulah keyakinannya sehingga berkata “mungkin kita boleh dapat lebih”.
Karim sebelum ini berkata baki kerusi itu akan dibahagikan antara dua parti pembangkang iaitu DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dianggapnya mampu mengancam gabungan kerajaan negeri.
Sebelum pembubaran DUN, DAP mempunyai tujuh kerusi manakala PSB enam.
DAP telah meletakkan calon di 26 kerusi dan PSB 70 calon untuk PRN nanti.
Karim dalam pada itu menafikan tujuh parti lain, termasuk PKR, yang katanya “tidak akan dapat apa-apa”.
“Ramai akan hilang deposit,” katanya.
Dalam rancangan bual bicara yang turut disertai pakar politik Universiti Sarawak Malaysia (Unimas), Lucy Sebli Seidelson, Karim berkata beliau tidak yakin tujuh parti lain itu akan menang kerana “pengundi tidak kenal mereka”.
Beliau berkata pengundi sudah lama membuat keputusan mengenai siapa yang mereka mahu undi.
Seidelson menyifatkan mereka sebagai “cendawan yang tumbuh selepas hujan.” – 8 Disember, 2021.
Berita penuh di sini.