Iklan

Najib masih popular, kata pemerhati politik

Kl court 1mdb 201021 tmiseth 02 (1)
Pemerhati politik melihat Najib Razak sekarang perlu mengukuhkan kuasa dan kekal sebagai wakil rakyat untuk mengelak masuk penjara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2021.
Iklan

POPULARITI Najib Razak sebagai ahli politik tidak terhakis biarpun Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya atas tuduhan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, kata pemerhati politik.

Mereka melihat Najib sekarang perlu mengukuhkan kuasa dan kekal sebagai wakil rakyat untuk mengelak masuk penjara.

Biarpun dikaitkan dengan pelbagai kes jenayah sejak beberapa tahun lalu, Najib malah makin popular dan popularitinya dijangka akan terus meningkat, kata mereka.

Pensyarah di University of Tasmania, James Chin berkata Najib sedar akan perlunya beliau mengekalkan kuasa politik untuk menghadapi pertuduhan demi pertuduhan terhadapnya.

“Beliau perlu bertanding (dalam pilihan raya umum akan datang) untuk jadi anggota parlimen kerana beliau faham bahawa satu-satunya jalan untuk elak penjara ialah dengan mengekalkan kuasa politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Orang lupa ini hanya satu daripada sekian banyak perbicaraan terhadapnya. Kalau lepas pun yang ini (SRC International), yang lain belum tentu lagi.

“Satu-satunya jalan keluar ialah dengan mengukuhkan kuasa politik. Beliau mesti kekal jadi pemain utama politik dan kalau ada peluang, saya pasti beliau mahu jadi perdana menteri semula,” tambahnya.

Mahkamah Rayuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta ke atas Najib berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah Rayuan juga tidak mengusik dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat hakim bicara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Hakim rayuan Abdul Karim Abdul Jalil yang mengetuai panel tiga hakim malah menyifatkan Najib memalukan negara sementara pembelaan beliau kononnya duit yang masuk ke akaun banknya derma putera Arab hanya rekaan semata-mata.

Peguambela Najib Razak memfalkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan manakala Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan akhir itu diputuskan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Disember, 2021.

Peguambela Najib kemudian memfalkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan manakala Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan akhir itu diputuskan.

Menurut Chin, penyokong Najib tidak akan goyang dengan keputusan Mahkamah Rayuan semalam.

“Najib sangat strategik dan bijak tentang wataknya di khalayak ramai. Sejak awal, sebelum kalah pilihan raya pun, beliau sudah mengupah perunding untuk menonjolkan wataknya di media sosial.

“Kalau kita lihat pengikut media sosial di Malaysia, beliau ada pengikut yang ramai. Walaupun berdepan masalah undang-undang sejak beberapa tahun ini, pengikutnya di media sosial tetap bertambah dan bukannya berkurang.”

Naratif mangsa 

Pensyarah politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar percaya Najib akan menggambarkan dirinya sebagai mangsa, seperti yang dilakukannya sejurus keputusan rayuan semalam.

“Inilah naratif utamanya mulai sekarang. Akan ada rakyat yang termakan ceritanya dan menyokong beliau,” katanya.

Oleh sebab itu, tidak mustahil Najib akan tetap ada sokongan yang besar, tambahnya.

“Beliau cuba menepis keadaan kesnya dengan membayangkan ada aib yang lebih besar untuk negara berbanding apa yang dilakukannya.

“Watak bangsawannya masih memukau sebahagian rakyat. Selain itu, watak rempitnya sebagai ‘bossku’ juga memikat kumpulan muda.

“Beliau akan terus popular dengan menyalahkan orang lain atas nasibnya ini,” kata Tunku Mohar.

Sementara itu, penganalisis politik Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata keputusan mahkamah semalam menjejaskan pelan Najib untuk kembali jadi perdana menteri.

Beliau mengingatkan kalau rayuannya selepas ini juga gagal dan jika tidak dapat pengampunan diraja, Najib hilang kelayakan bertanding pilihan raya umum akan datang.

Penyokong Najib Razak percaya Mahkamah Persekutuan akan membersihkan nama bekas perdana menteri berkenaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Disember, 2021.

“Najib akan bebas”

Penyokong Najib bagaimanapun percaya Mahkamah Persekutuan akan membersihkan nama beliau.

Ketua Bahagian Umno Shah Alam Azhari Shaari berkata ahli Umno di akar umbi kecewa dan terkilan dengan keputusan rayuan semalam.

Mereka berharap penganiayaan ke atas najib akan terbukti apabila rayuannya didengar di Mahkamah Persekutuan.

“Kita harap bukti baharu yang disebut oleh peguambelanya sebelum ini akan membantu rayuan seterusnya,” katanya.

Peguambela Najib cuba memasukkan bukti baharu pada saat akhir, yang didengar kelmarin, namun ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Azhari juga berpendapat keputusan mahkamah bermotifkan politik dan mahu membunuh masa depan Najib.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putera berkata keputusan mahkamah membuktikan tiada campur tangan oleh perdana menteri atau Umno.

“Sebelum ini ada yang kata Najib akan terlepas kerana Umno. Tetapi keputusan semalam menunjukkan perdana menteri membiarkan badan kehakiman membuat keputusan walaupun keputusan itu berat untuk Najib,” katanya.

Tambah beliau, ahli Umno akan menghormati keputusan mahkamah.

“Pemuda Umno akan terus menyokong Najib dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan,” katanya. – 9 Disember, 2021.

Iklan
Iklan