Jangan biar kerajaan negeri buat keputusan lesen arak, kata Guan Eng
Iklan
KERAJAAN negeri tidak sepatutnya dibenarkan membuat keputusan sama ada kedai kopi dan restoran perlu memohon lesen untuk menjual alkohol, kerana ia mungkin membuka jalan kepada dasar lebih ekstrem, kata Lim Guan Eng.
“Dengan membiarkan kerajaan negeri membuat keputusan, akan ada beberapa pihak yang terpengaruh dengan dasar ekstrem PAS yang akan melaksanakan peraturan baharu ini kepada kedai kopi dan restoran bukan Islam, yang mereka tidak mempunyai kuasa sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Setiausaha agung DAP itu berkata lesen berkenaan juga akan menjadi beban tambahan kepada kedai kopi dan restoran.
Ia juga akan melanggar hak orang bukan Islam untuk mengambil bir, tambahnya.
“Ini akan mengurangkan ruang bagi ramai orang bukan Islam untuk menikmati bir di kedai berlesen sah kerana pengusaha mungkin tidak fikir ia berbaloi untuk membayar antara RM840 dan RM1,320 bagi lesen apabila tidak mendapat untung memadai daripada penjualan bir.
“Ini mengganggu kebebasan dan menjejaskan gaya hidup dan amalan perniagaan biasa orang bukan Islam yang dilakukan sejak Merdeka tanpa sebarang aduan awam,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam kenyataannya.
Lim berkata kira-kira 60% daripada 15,000 restoran dan 80% daripada 20,000 kedai kopi di seluruh negara berkata mereka mungkin berhenti menjual bir jika peraturan baharu itu berkuat kuasa.
Bekas menteri kewangan itu berkata memandangkan Akta Eksais 1976 membenarkan Kementerian Kewangan mengenakan denda ke atas penjualan alkohol secara haram, pelesenan juga harus berada di bawah kementerian.
“Kementerian Kewangan tidak sepatutnya menyerahkan kuasa membuat keputusan kepada kerajaan negeri tetapi terus menangguhkan penguatkuasaan pelesenan bir di kedai kopi dan restoran. Dalam erti kata lain, penangguhan itu harus dikembalikan semula dan tidak laksanakan semula.”
Pagi ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan tidak membatalkan arahan membenarkan kerajaan negeri membuat keputusan sama ada kedai runcit memerlukan lesen untuk menjual alkohol.
Dilaporkan mulai tahun depan, Jabatan Kastam akan meminta kedai kopi dan restoran memohon lesen untuk menjual arak.
Keputusan itu dikecam kerana menambah beban kewangan kepada pengusaha kedai kopi dan restoran yang sudah mengalami kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19. – 9 Disember, 2021.