Badan kehakiman main peranan penting basmi rasuah, kata hakim
Iklan
BADAN kehakiman memainkan peranan penting dalam menghapuskan amalan rasuah di negara ini, kata Mahkamah Rayuan dalam kes SRC International.
Mereka turut memetik sebahagian penghakiman bekas Ketua Hakim Negara Sultan Azlan Shah dalam perbicaraan rasuah terhadap bekas menteri besar Selangor Harun Idris pada 1977.
Sultan Azlan dalam penghakiman itu menyifatkan Harun sebagai “patriot dan pemimpin” di mata masyarakat namun “membenarkan ketamakan merosakkannya” dalam kerjaya politiknya.
“45 tahun kemudian, kata-kata itu masih relevan kepada perayu (Najib) dan dari segi kedudukan kita sebagai sebuah negara,” kata mereka.
“Mahkamah dalam dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang mereka ‘perlu melakukan apa yang perlu untuk memastikan wabak moden ini dihapuskan demi kebaikan negara’,” kata mereka dalam penghakiman penuh setebal 317 muka surat.
Semalam Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah enayah dan pengubahan wang haram berhubung SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Panel hakim itu yang dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil menyampaikan keputusan sebulat suara dalam prosiding hibrid yang diadakan secara peribadi dan melalui Zoom.
Hakim lain ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.
Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada Julai tahun lepas. Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Hakim berkata di hadapan undang-undang, semua orang adalah sama rata walaupun perdana menteri sesebuah negara.
“Undang-undang sememangnya ‘tidak menghormati orang’. Semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan mahkamah menggunakan undang-undang sama rata kepada semua,” katanya. – 9 Disember, 2021.