PSB kitar semula wakil rakyat ‘buangan’ di PRN Sarawak
Iklan
PARTI Sarawak Bersatu (PSB) dikenali sebagai parti paling banyak mengutip ahli politik daripada timbunan “sampah” politik dan kemudian meletakkan mereka sebagai calon dalam pilihan raya negeri (PRN).
Parti diterajui bekas menteri kewangan kedua Sarawak Wong Soon Koh itu meletakkan 70 calon bertanding pada PRN kali ini.
Dua ahli politik paling terkemuka diterima parti itu ialah bekas pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang dibenarkan untuk mempertahankan kerusinya di DUN Ba’Kelalan, dan seorang lain ialah bekas naib presiden PKR Sarawak yang juga penyandang Batu Lintang, See Chee How.
PSB juga menerima ramai lagi yang lain, dikitar semula menjadi calon termasuk empat bekas ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), seorang bekas Adun Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan seorang lagi yang pernah bertanding atas tiket DAP dan juga calon bebas pada pilihan raya umum (PRU) 2016.
Bekas ahli Parlimen itu ialah bekas calon BN-SPDP Mas Gading Dr Tiki Anak Lafe yang pernah bertanding pada PRU 2008, bekas wakil rakyat Parti Rakyat Sarawak (PRS) Batang Ai William Nyallau Badak, bekas wakil rakyat PRS Masir Kujat (Sri Aman) dan bekas timbalan presiden PRS dan juga ahli Parlimen Tamin Joseph Entulu Belaun.
Kecuali Nyallau, semua di atas pernah berkhidmat dalam pentadbiran peringkat persekutuan dengan Dr Tiki adalah bekas timbalan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, Kujat timbalan menteri dalam negeri II dan Entulu menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Dr Tiki tidak dipilih mempertahankan kerusinya yang dipegang selama tiga penggal pada PRU 2013 sementara Nyallau dan Entulu dipecat daripada PRS sejurus sebelum PRU 2018 kerana tidak berdisiplin.
Kujat meletak jawatan pada 2019 dan menyertai PSB.
Bekas Adun SPDP yang dipilih PSB untuk menjadi calonnya bagi kerusi Marudi di utara Sarawak ialah Sylvester Entri Muran.
Entri adalah bekas menteri muda dalam Kabinet negeri.
PSB kini meletakkan mereka kembali menjadi calon dengan Dr Tiki bertanding di Tasik Biru di Bau; Kujat di Balai Ringin; Nyallau di Batang Ai dan Entulu di Tamin. – 11 Disember, 2021.
Berita penuh di sini.