Iklan

Pengorbanan besar tarik diri, kata Ali Biju

Desmond Davidson3 years ago11th Dec 2021Berita
Img-20211210-wa0058
Azmin Ali hadir menjelaskan sebab mengapa Ali Biju perlu menarik diri daripada mempertahankan kerusi Krian kepada pengikut Ali, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Disember, 2021.
Iklan

PENYANDANG kerusi Krian, Ali Biju berkata tindakan beliau tidak mempertahankan kerusi itu yang dipegangnya selama dua penggal pada Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang adalah “pengorbanan besar” untuk dirinya dan penyokongnya.

Tambahnya, beliau berbuat demikian demi partinya, Bersatu.

“Saya tarik diri bagi mengekalkan dan mengukuhkan hubungan baik antara Bersatu dan GPS,” kata naib pengerusi Bersatu Sarawak itu merujuk kepada gabungan parti pemerintah, Gabungan Parti Sarawak.

 Ali menjelaskan yang apabila beliau menghantar kertas penamaan calon selaku calon Bebas pada Isnin, beliau dinasihati kepimpinan tertinggi parti supaya tidak bertanding.

Beliau yang menang kerusi itu pada pilihan raya sebelum ini dengan menggunakan tiket PKR, berkata pada mulanya beliau tidak menghiraukan nasihat itu dan mahu bertanding selaku calon Bebas disebabkan “permintaan kuat penyokongnya”.

Bagaimanapun pada Khamis, beliau mengumumkan penarikan diri.

Pada sidang media diadakan di Saratok malam tadi selepas mesyuarat dengan pemimpin bahagian bagi menjelaskan sebab penarikan diri itu, Ali bertegas menafikan beliau menerima tekanan parti.

Pemimpin Bersatu, Azmin Ali dan Rashid Hasnon turut bersamanya pada sidang media itu.

“Mereka menasihati dan menjelaskan sebab strategik mengapa saya perlu menarik diri.

“Saya memahami sebab strategik itu. Saya harap penyokong saya pun faham juga,” kata Ali yang juga timbalan menteri di kerajaan pusat.

Ali yang meraih undi majoriti 1,640 pada pertembungan dengan calon Barisan Nasional Kilat Beriak pada pilihan raya 2016, berkata beliau berharap GPS akan membalas pengorbanan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 apabila beliau mempertahankan kerusi Parlimen Saratok yang dipegangnya.

“Saya harap mereka beri laluan.”

Sebilangan penyokong meninggalkan pusat perkhidmatan Ali di mana mesyuarat diadakan, petanda yang mereka memahami sebab penarikan itu.

“Kali ini sahaja. Lain kali (pilihan raya akan datang), semuanya kembali macam biasa,” kata mereka kepada wartawan.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menghantar Ahli Pimpinan Tertinggi parti, Azmin ke Saratok untuk menjelaskan sendiri kepada penyokong Ali mengapa penarikan itu adalah yang terbaik “untuk semua orang”.

Dengan penarikan itu, Ali berkata calon GPS Friday Belik mempunyai laluan mudah untuk menjadi Adun.

Beliau turut berjanji akan membantu kempen Belik secara peribadi.

“Bermula lusa, saya akan berkempen dengannya dari rumah panjang ke rumah panjang.”

Ali juga berkata salah satu permintaan dibuatnya kepada penyokongnya adalah supaya tidak mengundinya.

Walaupun menarik diri, namanya masih berada di kertas undi dan undi yang akan diterima adalah sah.

Perebutan kerusi Krian kini menjadi pertandingan tiga penjuru antara Friday, Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu) dan Danny Kuan (Parti Bumi Kenyalang). – 11 Disember, 2021.

Iklan
Iklan