Bersatu tidak teruskan tindakan disiplin terhadap Ali Biju
Iklan
BERSATU tidak akan meneruskan rancangannya untuk mengambil tindakan terhadap naib pengerusi Bersatu negeri Ali Biju kerana tidak mematuhi keputusan parti untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Ali malam tadi mengakui melanggar nasihat parti untuk tidak bertanding kerusi DUN Krian yang dipertahankan selama dua penggal, apabila beliau menghantar pencalonan dirinya sebagai calon bebas.
Katanya, beliau berbuat demikian “atas permintaan penyokongnya”.
Sumber parti memberitahu The Malaysian Insight “kenyataan keras” Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada Khamis memberi petanda parti tidak akan mengambil tindakan terhadap Ali.
Sumber itu berkata jarang untuk presiden mengeluarkan kenyataan dan dalam kes Ali, kenyataan serta merta daripada Muhyiddin adalah isyarat kuat presiden mahu menamatkan perbincangan tentang tindakan disiplin.
Dalam satu kenyataan, Muhyiddin mengalu-alukan keputusan Ali untuk menarik diri, menyifatkan ia sebagai pengorbanan kerana menghormati hubungan antara Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Empat hari lalu, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata Ali akan berdepan tindakan disiplin.
Ali menarik pencalonannya sehari selepas Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Hamzah dalam satu program temu bual memberi bayangan Ali mungkin satu-satunya calon bebas yang dapat menang kerusi pada PRN itu.
Pada sidang akhbar di Saratok malam tadi, bandar utama kawasan Krian, Ali berkata menarik diri daripada PRN itu adalah pengorbanan besar untuknya dan penyokongnya untuk melindungi kepentingan parti.
Ali mempertahankan DUN Krian dengan 1,640 undi majority dalam perlawanan satu lawan satu dengan calot Barisan Nasional, Kilat Beriak pada 2016. – 11 Disember, 2021.