Iklan

Tarik atau kaji semula RUU Kewangan, kata DAP

Raevathi Supramaniam3 years ago11th Dec 2021Berita
49937043917 4dc160ffcf o
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata jika RUU Kewangan 2021 akan melemahkan daya saing Malaysia malah daya tarikan pelaburan jangka panjang dan kepentingan kewangan negara juga mungkin terkesan teruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2021.
Iklan

DAP akan menolak Rang Undang-undang (RUU) Kewangan 2021 melainkan Putrajaya tarik atau kaji semula cadangan untuk kenakan cukai pendapatan sumber asing (FSIE), kata Lim Guan Geng hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu berkata jika dilaksanakan, dasar itu akan melemahkan daya saing Malaysia malah daya tarikan pelaburan jangka panjang dan kepentingan kewangan negara juga mungkin terkesan.

“Ahli Parlimen DAP akan tolak Rang Undang-undang Kewangan untuk dibahaskan minggu depan melainkan ada penjelasan yang FSIE tidak akan ditarik balik atau dikaji semula supaya tidak menjejaskan individu dan syarikat yang bekerja keras yang mahu membawa pulang pendapatan asing mereka ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ia juga tidak adil bagi individu yang terpaksa bekerja di luar negara kerana prospek gaji yang lebih baik dan peluang yang lebih tinggi,” tambahnya.

Penarikan balik FSIE termasuk kiriman wang untuk dividen syarikat dan individu, pendapatan faedah, dan sewa atau keuntungan daripada pelupusan hartanah di luar negara dan mungkin untuk anak-anak yang bekerja di luar negara yang menghantar wang perbelanjaan kepada ibu bapa mereka, tambahnya.

Beliau berkata penarikan balik FSIE juga akan menjadikan Malaysia kurang menarik kepada pelabur.

“Untuk semua kesan negatif terhadap daya tarikan kewangan kita, Kementerian Kewangan menganggarkan cuma RM1.2 bilion hasil boleh dikutip dengan mengenakan cukai pendapatan sumber asing pada 2022.

“Adakah lebihan hasil RM1.2 bilion berbaloi untuk dirugikan dan diberi kepada negara jiran kita dengan rejim cukai yang lebih menarik?” soalnya.

Mulai 1 Januari 2022, pengecualian cukai ke atas pendapatan sumber asing yang diterima di Malaysia di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, akan ditarik balik, bermakna pendapatan sumber asing, sama ada daripada perniagaan atau pekerjaan atau dalam bentuk dividen, royalti, faedah atau sewa, yang dimasukkan ke negara ini akan tertakluk kepada cukai Malaysia.

Pengecualian itu telah dilaksanakan sejak 1998 untuk syarikat dan sejak 2004 untuk individu dalam usaha untuk menggalakkan pengiriman wang pendapatan tersebut.

Lim turut mempersoalkan keikhlasan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berkata ia tidak akan mengaudit, menyiasat atau menghukum mereka yang mendaftar untuk Program Kiriman Wang Pendapatan Khas (PKPP) yang akan berlangsung dari 1 Januari hingga 30 Jun 2022.

Di bawah program itu, kadar cukai sebanyak 3 peratus (kasar) akan dikenakan ke atas pendapatan yang dibawa dalam tempoh seperti yang dicadangkan di bawah Rang Undang-undang Kewangan 2021.

Ia juga berkata, untuk layak menyertai program itu, pendapatan mesti dibawa masuk atau dihantar dalam tempoh PKPP dan pembayar cukai perlu membuat pembayaran mengikut aturan pembayaran biasa yang telah ditetapkan bagi tahun taksiran 2022 atau 2023, yang mana berkenaan.

“LHDN berkata ia tidak akan menjalankan semakan audit atau penyiasatan mahupun mengenakan penalti ke atas pendapatan yang dibawa dalam tempoh ini, tetapi akan menerimanya seadanya.

“Tiada siapa yang percaya dengan komitmen LHDN yang mempunyai rekod mungkir janji di bawah pentadbiran semasa.” – 11 Disember, 2021.

Iklan
Iklan