Umno sayang Najib, beliau terlampau popular, kata penganalisis
Iklan
UMNO tidak akan menolak Najib Razak walaupun Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan kesalahannya kerana rasuah dan beliau menghadapi banyak lagi perbicaraan, kata penganalisis.
Mereka berkata, walaupun berdepan pertuduhan dan sudah pun disabitkan kesalahan untuk satu kes, Najib masih mempunyai pengikut yang kuat dalam kalangan akar umbi Umno, terutamanya golongan konservatif.
Mereka juga berkata, sebarang langkah Umno untuk menjauhkan diri daripada Najib boleh membawa kepada perpecahan parti.
Bagaimanapun, terdapat juga pemerhati lain yang berpendapat Umno perlu membuang Najib supaya tuduhan rasuahnya tidak digunakan terhadap parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Awang Azman Pawi berkata masih ada sebahagian besar rakyat yang menyokong dan berdiri teguh di belakang Najib.
“Sokongan ini akan buatkan Umno susah untuk berpisah dengan Najib menjelang PRU15,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Jika Umno mahu berpisah dengan Najib, ia juga boleh jadi penyebab perpecahan dalaman lagi dalam parti itu.”
Awang mengakui dengan mengekalkan Najib ia boleh merunsingkan parti, kerana walaupun bekas presiden itu boleh menarik pengundi konservatif, kehadirannya dalam Umno juga mungkin menghalau pengundi kelas pertengahan.
Awal minggu ini, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati bekas perdana menteri itu bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berhubung dengan SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali, pada Julai tahun lepas. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Mahkamah juga membidas Najib kerana “memalukan negara” dan membandingkan pembelaan derma Arabnya dengan Hikayat 1001 Malam, koleksi hikayat rakyat Timur Tengah.
Penganalisis politik Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata apa jua keraguan Umno terhadap Najib terpadam apabila mereka melihat prestasi dan pengaruhnya dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, terutamanya pilihan raya negeri Melaka.
“Umno tidak mampu untuk berpisah daripada Najib. Beliau telah membina semula dirinya sebagai jurucakap utama bagi kedudukan dasar parti dalam semua isu.
“Imej ‘Bossku’ beliau juga telah sebati dengan majoriti Melayu yang mendambakan pengeluaran sosioekonomi semasa menjadi perdana menteri.”
Kerana populariti Najib dan berada di barisan hadapan berkempen, Oh berpandangan beliau mungkin mengetuai parti itu untuk memenangi PRU15.
“Kepopularan beliau sekali lagi diperkukuh di Melaka baru-baru ini. Dengan beliau sebagai ketua kempen Umno, parti itu boleh merampas lebih banyak kerusi dan memperkukuhkan kedudukan pemerintahannya.”
Barisan Nasional (BN) meraih majoriti dua pertiga di Melaka selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi di dewan itu.
Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 28 kerusi, dengan PKR meletakkan 11 calon, Amanah sembilan dan DAP lapan. PKR kalah semua 11 kerusi yang ditandinginya, DAP menang empat dan Amanah satu.
Penyerang pembangkang
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berkata, untuk Umno bergerak ke hadapan, ia perlu memutuskan hubungan dengan Najib.
“Umno perlu korbankan Najib. Jika Umno mahu maju, mereka mungkin perlu berhenti pertahankan Najib.
“Ini hanya kes SRC, masih ada perbicaraan 1MDB yang sedang berjalan. Ia mungkin kembali menjadi isu hangat dalam PRU akan datang.
“Mereka (pembangkang) akan guna semula (isu) untuk tarik pengundi.”
Hakikat yang keputusan Mahkamah Rayuan sebulat suara juga tidak memberi petanda baik kepada Najib atau Umno, katanya.
“Mahkamah Rayuan bukan sahaja bersetuju dengan Mahkamah Tinggi, malah mereka menggelarnya (Najib) sebagai memalukan negara.
“Tidak dinafikan lagi, bukti terhadapnya adalah kukuh dan keputusan Mahkamah Tinggi tepat. Malah rayuannya mungkin tidak diterima oleh Mahkamah Persekutuan.”
Mazlan berkata Umno juga mempunyai isu tanah Kampung Baru untuk dihadapi kerana ia juga telah menimbulkan kemarahan asas pengundinya.
Isu berkembar itu boleh menyebabkan Umno kehilangan popularitinya, katanya.
“Mereka (Umno) mahu pilihan raya diadakan dengan cepat, tetapi ada juga isu Kampung Baru yang menimbulkan kemarahan orang Melayu, untuk ditangani di atas Najib. Pengundi di sana rasa tertipu oleh parti.”
Ahli politik BN sebelum ini memberitahu penduduk Kampung Baru yang lebih banyak lagi akan ditawarkan untuk tanah mereka, tetapi ini tidak berlaku walaupun selepas pemimpin-pemimpin ini kembali ke kerajaan di bawah Perikatan Nasional.
Putrajaya enggan menawarkan lebih RM1,000 sekaki persegi untuk tanah mereka walaupun menjanjikan harga yang baik jika kerajaan hari ini berpaksikan Melayu. – 12 Disember, 2021.