Ambiga bidas sikap oportunis Putrajaya rebut kuasa semasa wabak
Iklan
PEGUAM hak asasi manusia Ambiga Sreenevasan menyelar sikap golongan pemimpin yang saling berebut jawatan perdana menteri tatkala negara masih dibelenggu pandemik Covid-19.
Daripada memberi tumpuan kepada kelemahan menguruskan wabak, ahli politik sebaliknya memilih untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing, katanya kepada The Malaysian Insight.
“Ia adalah masa terbaik untuk kita perbaiki kegagalan sistem, tetapi sesetengah pemimpin melihat ini sebagai peluang, mengambil kesempatan daripada populasi yang terdedah,” kata Ambiga.
“Sepanjang dua tahun Covid yang sukar, nampaknya kita menuju ke arah kegelapan. Rasuah tidak mengapa, asalkan kita labelkannya sebagai sesuatu yang lain. Mereka tidak mengubah tingkah laku mereka, sebaliknya mereka mengubah nilai kita.”
Muhyiddin Yassin yang menggantikan Dr Mahathir Mohamad meletakkan negara di bawah tiga perintah berkurung bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Beliau juga menangguhkan persidangan Parlimen dan meletakkan negara di bawah darurat. Pengkritik Muhyiddin berkata ini adalah usaha untuk kekalkan kuasa daripada mengatasi wabak itu.
17 bulan kemudian, pada Ogos tahun ini, Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri kesembilan.
Dua tahun perintah berkurung itu juga menyerlahkan amalan double standard yang berleluasa dalam kalangan ahli politik dan kumpulan T20 yang seolah-olah terlepas daripada denda kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 manakala rakyat Malaysia tetap dihukum.
Walaupun keadaan tidak baik, Ambiga berkata kepercayaannya terhadap sistem itu sekali lagi diperkukuh oleh badan kehakiman.
“Dalam penghakiman, pengumuman itu lantang dan jelas. Rasuah tidak baik dan tiada siapa yang melebihi undang-undang. Nampaknya kita sedang tergelincir, apabila tiba-tiba terdapat pembetulan laluan yang meletakkan kita kembali ke landasan.”
Beliau merujuk kepada kes rasuah bekas perdana menteri Najib Razak yang mana Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang dikaitkan dengan SRC International.
Ambiga juga menegaskan bahawa Malaysia mempunyai pemimpin terdahulu yang hebat, dengan pemimpin yang baik, seperti Tun Hussein Onn.
“Tun Hussein dikenali sebagai seorang yang berintegriti. Tiada siapa yang berani berjumpanya untuk mendapatkan bantuan atau kontrak. Beliau sangat teliti dengan semua yang beliau tulis dan katakan. Sentiasa percaya bahawa seorang pemimpin mesti memilih kata-katanya dengan berhati-hati.
“Bagaimana jika dibandingkan dengan pemimpin yang kita ada hari ini? Mengapa sukar untuk mencari pemimpin yang mempunyai sifat-sifat Hussein Onn?
“Kami mendambakan kembali nilai-nilai itu,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Badan Peguam Malaysia 2021 pada Jumaat.
Melangkah ke arah demokrasi deliberatif
Mengulas mengenai “Better Malaysia Assembly”, Ambiga berkata ia adalah satu langkah ke arah demokrasi tanpa halangan politik.
Beliau berkata kumpulan ini adalah cara terbaik untuk mendapatkan kedua-dua belah pihak untuk sama-sama membincangkan isu-isu penting berkaitan negara.
The Better Malaysia Assembly ialah kumpulan bebas yang diketuai oleh Nazir Razak, adik kepada Najib.
Pada November, Nazir dan 55 yang lain termasuk Ambiga, menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meminta perkenan membentuk kumpulan itu bagi tujuan melaksanakan perubahan sistem.
Antara tumpuan kumpulan itu adalah untuk mengukuhkan semula prinsip kenegaraan Malaysia, kontrak sosial, perbincangan dan cadangan tentang bagaimana demokrasi, institusi dan ekonomi harus berfungsi dan mengenal pasti dasar khusus dan perubahan perundangan yang diperlukan.
Nazir berkata kumpulan itu akan mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk berbincang, selepas itu syornya akan dikemukakan kepada Parlimen untuk dipertimbangkan dan dibahaskan.
“Ini adalah satu langkah ke arah demokrasi deliberatif. Ini bukanlah platform yang baru, ia digunakan dengan jayanya di negara lain, Ireland, Chile dan Iceland,” katanya.
“Ia membolehkan isu-isu dibahaskan tanpa campur tangan politik. Ia adalah satu cara untuk rakyat biasa berkumpul untuk membantu menyelesaikan isu tanpa mengambil berat tentang politik atau populariti atau sama ada anda akan memenangi pilihan raya akan datang.
“Jika kita kekal dengan pandangan masing-masing, bilakah kita akan bersepakat untuk menyelesaikan masalah negara?,” kata Ambiga.
Ambiga berkata beliau juga dikritik kerana menandatangani kontrak dengan beberapa penandatangan yang tidak sefahaman dengannya, tetapi menambah bahawa ini bukan mengenai dia dan yang lain.
“Apa yang saya tahu ialah buat pertama kalinya kita semua bersetuju sesuatu mesti dilakukan untuk mewujudkan Malaysia yang lebih baik,” tambahnya.– 12 Disember, 2021.