Iklan

Leon Donald harap tuah kali ketiga di Simanggang

Desmond Davidson3 years ago13th Dec 2021Berita
Screenshot (861)
Replika Bujang Senang menjadi tarikan baharu di Simanggang. – Gambar Facebook, 12 Disember, 2021.
Iklan

CALON DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang, Leon Jimat Donald amat percaya dengan simpulan bahasa Inggeris “third time lucky”.

Selepas dua percubaan tidak berjaya di kerusi majoriti Dayak itu dengan 13,224 pengundi, beliau berharap akan berjaya pada percubaan ketiganya.

“Dengan keizinan Tuhan,” katanya kepada The Malaysian Insight tetapi cabaran yang dihadapinya adalah sukar.

Untuk memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 18 Disember, Leon perlu menyingkirkan Francis Harden Hollis, penyandang dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) – Parti Rakyat Bersatu Sarawak yang memegang kerusi itu selama lima penggal sejak 1996.

Leon, anak bekas ahli parlimen Sri Aman dari Barisan Nasional (BN) selama empat penggal Jimmy Donald, membuat percubaan pertamanya tampil sebagai calon pada 2011.

Dalam pertarungan dua penjuru, majoriti Harden sebanyak 2,447 undi adalah lebih besar daripada 2,311 undi yang diraih Leon. Harden memperoleh 4,785 undi.

Pada PRN berikutnya pada 2016, keputusan itu pasti amat mengecewakan Leon kerana beliau hanya menerima 695 undian daripada 8,075 yang membuang undi.

Punca kekalahan teruknya itu disebabkan perbalahan sesama sendiri dalam Pakatan Harapan (PH) dengan DAP dan PKR cuba merebut kerusi itu.

PKR meletakkan Norina Umoi Utot tetapi beliau juga menerima undi lebih teruk sebanyak 580.

Calon Bebas dalam pertarungan empat penjuru, Ngu Piew Seng, memperoleh 2,706 undi tetapi ia gagal menghalang Harden, yang memperoleh 4,094 undi, memastikan penggal kelimanya.

Satu lagi pertarungan empat penjuru berlaku pada PRN kali ini dengan parti baharu, Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB), cuba menyaingi GPS dan PH. PBK menurunkan Peli Aron manakala PSB Wilson Entabang.

Dalam temu bual dengan akhbar tempatan baru-baru ini, Leon menyenaraikan tiga keutamaan untuk Simanggang jika beliau memenangi kerusi kali ini - perumahan, tanaman kontan dan pendidikan.

“Penduduk Simanggang mahukan rumah yang lebih berkualiti dan mampu milik,” katanya sambil menambah perumahan hanya boleh didapati melalui pemaju swasta.

“Tanah negeri terbiar di Simanggang mesti ditukar kepada skim penempatan semula supaya rakyat boleh membina lebih banyak rumah mampu milik dan kawasan kediaman.”

Beliau juga akan menggalakkan lebih banyak tanaman kontan dan pendapatan alternatif yang lebih baik bagi petani luar bandar.

Dulu musuh kini jadi sekutu

PRN kali ini juga adalah percubaan ketiga Norina untuk menjadi ahli dewan undangan negeri (Adun).

Di sebalik penampilan suram pada PRN 2016, bekas ahli PKR itu - salah seorang daripada ratusan pemimpin akar umbi yang meninggalkan parti dalam pasca pembersihan Langkah Sheraton - diletakkan untuk bertanding di kerusi parlimen Sri Aman pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Dalam pertarungan tiga penjuru, beliau bertindak lebih baik, mengutip 8,321 undi tetapi tidak dapat menghalang penyandangnya Masir Kujat mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 5,820 undi selepas memperoleh 14,141 daripada 23,000 undi sah.

Norina kini menukar taat setia politiknya kepada PSB yang meletakkannya di kerusi majoriti Dayak, Bukit Begunan.

Beliau akan cuba menyingkirkan seorang lagi Adun lima penggal Mong Dagang dari GPS.

Berkongsi sasaran sama Vinton Langang Sangga dari PBK dan Entusa Imam dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB).

Dalam kemeriahan politik Sarawak, bekas calon BN-Parti Rakyat Sarawak (PRS), lelaki yang ditentang Norina pada PRU 2018 Masir Kujat kini sekutunya dalam PSB.

PSB meletakkan Kujat di kerusi Balai Ringin yang mana beliau akan bertanding tiga penjuru dengan penyandangnya Snowdan Lawan dari GPS dan Kasim Mana dari PBK. – 13 Disember, 2021.

Iklan
Iklan