‘Gangguan’ SPRM dijangka tingkatkan sokongan kepada parti PBK, kata penganalisis
Iklan
SOKONGAN terhadap Parti Bumi Kenyalang (PBK) mungkin naik mendadak selepas presidennya Voon Lee Shan didakwa ditahan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dibawa ke ibu pejabatnya untuk disoal siasat.
Penganalisis politik James Chin berkata kejadian yang berlaku pada 8.30 pagi di Kenyalang Park, sebuah kawasan kediaman terbesar di Kuching, telah mengubah nasib politik PBK dalam pilihan raya kali ini.
PBK adalah parti yang menyokong kemerdekaan untuk Sarawak, dan sehingga kini tidak ada hala tuju dalam pilihan raya Sarawak.
“PBK mungkin tidak akan dapat kerusi dalam pilihan raya tetapi disebabkan gangguan pagi ini oleh SPRM, keseluruhan senario (politik) untuk PBK telah berubah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Chin berkata sokongan itu akan datang daripada pengundi yang terpengaruh dengan isu berkaitan emosi.
“Jelas sekali akan ada ramai orang yang akan marah dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan persekutuan.
“Mereka akan melihatnya sama ada sebagai gangguan atau lebih teruk lagi. Saya tidak pernah terfikir yang saya akan berkata begini: kerajaan persekutuan adalah juru kempen yang paling berkesan untuk PBK.”
Dalam catatan di laman Facebooknya, beliau menulis: “Terdapat kebodohan. Saya fikir apa yang berlaku pagi ini adalah melampaui kebodohan.
“PBK akan mendapat simpati besar atas perkara ini. Persepsi orang ramai adalah segala-galanya kepada pengundi atas pagar.”
Chin berkata terdapat sangat sedikit keraguan bahawa Voon akan mendapat banyak undi simpati di kawasan Batu Lintang tempat beliau bertanding.
“Rakyat Sarawak akan melihat kejadian ini sebagai satu lagi campur tangan kerajaan persekutuan dalam hal ehwal Sarawak.”
Penganalisis lain masih enggan mengulas sehingga mereka mendapat gambaran yang lebih jelas tentang kejadian itu.
Voon, yang merupakan Adun bagi kerusi itu selama satu penggal dari 2006 hingga 2011 sebagai wakil rakyat DAP, bertanding sengit lima penjuru dengan Sih Hua Tong dari Gabungan Parti Sarawak, penyandang See Chee How kini bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB). Leong Shaow Tung dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Cherishe Ng Phuay Hui dari PKR.
Beliau berkata ketika kejadian, pegawai SPRM terlebih dahulu menyekat keretanya sebelum pegawai terlibat bergegas merampas kunci keretanya.
Beliau mempersoalkan keperluan untuk taktik sedemikian.
Setiausaha PBK Priscilla Lau kemudian berkongsi dalam kumpulan WhatsApp parti itu dengan media Kuching video yang dirakam Voon mengenai kejadian itu di telefon bimbitnya.
Voon juga mendakwa dirinya “ditahan”.
Beliau kemudian memberitahu pemberita selepas keluar dari bilik soal siasat bahawa dirinya disoal siasat dari 9.30 pagi hingga 1 tengah hari atas dakwaan kesalahan mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM, 2009.
Seksyen itu berkaitan dengan kesalahan memberi, berjanji atau menawarkan secara rasuah kepada mana-mana individu sama ada untuk faedah individu itu atau orang lain.
Voon berkata ia berkaitan dengan video yang mana beliau bercakap mengenai pasport PBK – yang merupakan manifesto parti.
“Pasport” itu telah menjanjikan mereka yang mengundi dalam pilihan raya akan mendapat bayaran RM3,000 menerusi “dana bantuan khas” jika PBK menang.
Bekas pegawai polis dan seorang peguam kanan di negeri itu berkata laporan yang dibuat terhadapnya bukan dibuat oleh orang awam tetapi oleh pegawai SPRM dengan “arahan daripada pihak atasan”.
SPRM dalam satu kenyataan kemudiannya menafikan Voon ditahan.
Badan antirasuah itu berkata mereka telah beberapa kali cuba menghubunginya bagi menyampaikan notis di bawah Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 untuk beliau hadir ke ibu pejabat SPRM tetapi gagal.
“Dakwaan mengejar kereta adalah tidak benar,” kata kenyataan itu. – 12 Disember, 2021.