PAS tak perlu tumpang parti lain, kata Hadi
Iklan
PAS sebuah parti yang kuat pada waktu ini dan tidak perlu menumpang mana-mana parti lain demi menjamin kelangsungannya, kata presidennya Abdul Hadi Awang.
Beliau mengucapkan demikian sewaktu sambutan ulangtahun parti Islam itu yang ke-70, sewaktu hubungan dengan parti gabungannya dalam Muafakat Nasional (MN) semakin teruji.
“Parti kita, parti yang kuat, kita tak perlu tumpang parti lain, bahkan kita tempat menyelamat parti lain.
“Parti lain banyak bergantung dengan kita untuk selamatkan diri. PAS tak bergantung dengan orang lain dan ini keisitimewaan PAS,” katanya sewaktu ucapan di acara tersebut di Kuala Terengganu.
Ia menyusuli keputusan parti itu bulan lalu untuk mengutamakan kerjasama dengan gabungan parti kerajaan, Perikatan Nasional (PN) berbanding dengan Umno dalam MN.
Beliau turut menjelaskan kesanggupan PAS untuk bekerjasama dengan pihak yang menurutnya dapat menerima keadilan Islam dan usaha parti itu memartabatkan ajaran agama.
Katanya, PAS akan menerima mana-mana parti yang mahu bersama dengan Islam dan adil kepada semua, tambah.
“Barang siapa nak selamatkan Islam tak tinggal Islam adil untuk semua kita terima, barang siapa letak Islam dekat belakang kita tidak terima,” katanya.
Jelasnya lagi biarpun PAS bercita-cita menyelamatkan ummah termasuk bukan Islam tapi parti itu tidak memaksa kaum lain untuk masuk Islam.
“Kita tak paksa orang masuk Islam tapi kita bertanggungjawab untuk memimpin manusia seluruhnya yang masuk Islam Insyallah akan ada dunia dan akhirat.
“Yang tak masuk Islam dunia saja terserah kepada Allah,” katanya.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas itu, Hadi menafikan beliau menuduh Umno melanggar piagam yang dibentuk dengan PAS bagi kerjasama dalam MN.
Jelasnya kenyataannya tidak merujuk kepada Umno keseluruhan namun hanya individu tertentu dalam parti tersebut.
Beliau seterusnya enggan menamakan individu tersebut apabila ditanya.
“Saya tak kata Umno saya kata ada orang yang langgar, bukan Umno. Sebab Umno ini parti bergerak secara kolektif dia Bukan parti yang bergerak di atas individu.
“Sebab itu saya tak tuju pada siapa, saya tembak dalam gelap. Kalau kena, kenalah,” katanya.
Hubungan PAS dan Umno kini menjadi tanda tanya selepas pemimpin kedua-dua parti itu terus mengeluarkan kenyataan mengkritik sesama sendiri.
PAS dan Umno membentuk kerjasama lebih awal melalui MN selepas pada September 2019, ekoran kekalan Barisan Nasional dalam PRU14.
Parti Islam itu kemudian berjaya menyertai kerajaan baharu dengan menyertai gabungan PN yang ditunjangi Bersatu pimpinan Muhyiddin pada tahun lalu.
Ia juga berjaya kekal dalam kerajaan selepas Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan perdana menteri dari Muhyiddin. – 12 Disember, 2021.