PAS pertimbang gagasan baharu, kata Tuan Ibrahim
Iklan
PAS mempertimbangkan untuk mewujudkan satu gagasan baru untuk menyelesaikan isu dengan Umno dan Bersatu, kata timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau menggambarkannya sebagai usaha penyatuan umat Islam dan melibatkan pihak berkepentingan di Sabah dan juga Sarawak.
“Banyak benda yang harus kita tengok. Mungkin negara perlukan suatu penyatuan gagasan besar, bukan hanya dalam lingkungan kerangka semenanjung,
“Mungkin gagasan tu meliputi Sabah Sarawak, satu gagasan besar yang juga melihat kepentingan ummah, kepentingan negara itu sebagai satu fikiran bersama,” kata Tuan Ibrahim.
Beliau mengulas kenyataan Umno bahawa hubungan dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) akan ditentukan dalam Perhimpunan Agung Umno pada Januari.
Menjawab kenyataan Naib Presiden Umno Mahadzir Khalid itu, Tuan Ibrahim berkata PAS akan memutuskan pendirian parti Islam itu selepas Umno memuktamadkan keputusannya.
Beliau juga percaya tiada pihak mahu membubarkan MN namun penubuhan gagasan baharu itu akan dapat menjernihkan semula hubungan di kalangan parti Melayu itu, katanya.
Tuan Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas program sambutan ulang tahun PAS ke-70 di Kuala Terengganu.
Hubungan PAS dan Umno kini menjadi tanda tanya selepas pemimpin kedua-dua parti sering mengeluarkan kenyataan mengkritik sesama sendiri.
PAS dan Umno membentuk kerjasama lebih awal melalui MN selepas pada September 2019, ekoran kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14.
Parti Islam itu kemudian berjaya menyertai kerajaan baharu dengan menyertai gabungan PN yang ditunjangi Bersatu pimpinan Muhyiddin pada tahun lalu.
Ia juga berjaya kekal dalam kerajaan selepas Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan perdana menteri dari Muhyiddin. – 12 Disember, 2021.