Iklan

Ambil dos penggalak untuk perlindungan optimum, kata pakar

Khoo Gek San3 years ago13th Dec 2021Berita
Vaccination (2)
Dalam ketidaktentuan terhadap ancaman Covid-19, dos penggalak disarankan diambil sebagai perlindungan yang lebih menyeluruh, kata pakar kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2021.
Iklan

ORANG ramai disarankan mengambil dos penggalak kerana kadar keberkesanan vaksin menghalang jangkitan varian Omicron masih belum diketahui, kata pakar kesihatan.

Pakar imunopatologi Dr Sibrandes Poppema berkata ini kerana ujian makmal bagi menentukan tahap keberkesanan vaksin sedia ada terhadap Omicron sedang dijalankan, dan keputusannya akan diketahui beberapa minggu akan datang.

“Data hanya diperolehi dalam beberapa minggu lagi. Vaksin tidak menghentikan Covid-19 namun ia berupaya mengurangkan gejala lebih serius dan kadar kematian,” kata presiden Sunway University itu kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Hayat di Sunway University, Dr Abhi Veerakumarasivam berkata pengeluar vaksin Covid-19 seperti Pfizer-BioNTech sudah mula mengusahakan vaksin khusus menyasarkan varian Omicron. 

Namun, dalam ketidaktentuan terhadap ancaman Covid-19, dos penggalak disarankan diambil sebagai perlindungan yang lebih menyeluruh, katanya.

Dr Abhi berkata masih ramai yang tidak memahami bahawa walaupun mengambil dua dos vaksin Covid-19, perlindungan itu akan menyusut dari masa ke semasa.

Tambahnya, perlindungan vaksin selepas pengambilan dua dos juga berbeza mengikut umur dan tahap kesihatan individu.

Dr Abhi menegaskan dos penggalak adalah penting kerana kajian mendapati ia meningkatkan paras antibodi individu.

“Dos penggalak bertindak seperti ‘ulang kaji’, yang mengingatkan sistem imun untuk melawan virus sama seperti dua dos pertama,” katanya.

BioNTech SE bersama Pfizer Inc baru-baru ini berkata mereka telah mula mengusahakan vaksin yang khusus menyasarkan varian Omicron. Vaksin yang disesuaikan untuk menangani varian Omicron dijangka dikeluarkan dalam tempoh 100 hari, sekiranya vaksin sedia ada tidak berkesan terhadap varian baharu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Albert Bourla berkata langkah itu vaksin sedia ada dibimbangi tidak mampu untuk melawan jangkitan yang disebabkan oleh Omicron.

Pengeluar vaksin China Sinovac Biotech berkata ia sedang menilai sama ada vaksinnya berkesan terhadap Omicron atau syarikat itu perlu membangunkan vaksin baharu. – 13 Disember, 2021.     

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan