Iklan

Undi18 gagal tangguh PRN Sarawak

Desmond Davidson3 years ago13th Dec 2021Berita
Undi18youths2
Avril Clarice Chin, Ivan Alexander Ong dan Adam Johanson Jeremy Shayne memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuching untuk semakan kehakiman dan menangguhkan pilihan raya negeri sehingga mereka boleh mengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2021.
Iklan

TIGA pengundi belia Sarawak gagal dalam usaha menangguhkan sementara pilihan raya negeri selepas permohonan mereka untuk semakan kehakiman ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuching hari ini.

Mereka mahu pilihan raya, yang dijadualkan pada Sabtu ini, ditangguhkan bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemas kini daftar pemilih supaya mereka yang berumur 18 tahun boleh mengundi.

Keputusan semakan kehakiman yang mereka failkan itu diperoleh sehari sebelum 23,043 pengundi awal - terdiri daripada anggota tentera, anggota polis dan pasangan mereka - membuang undi awal esok.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew, dalam menolak permohonan itu berkata hujah mereka untuk mendapatkan kebenaran tidak memenuhi syarat diperlukan bagi sesuatu kes dipertikaikan.

Ketiga-tiga mereka, Ivan Alexander Ong, 19, Avril Clarice Chin Ning, 18, dan Adam Johnson Jeremy Shayne, 19, terselamat daripada terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk yuran guaman apabila mahkamah menolak permohonan itu tanpa perintah kos.

Siew, dalam keputusannya berkata hak automatik untuk mengundi tidak bermakna “serta-merta”.

Beliau juga berkata di bawah peraturan pilihan raya, terdapat proses yang perlu diikuti, seperti semakan oleh Pendaftar Pemilih untuk mengesahkan sama ada seseorang itu layak mengundi.

Ketiga-tiga beliau itu memohon perisytiharan  memandangkan mereka adalah warganegara yang berhak mengundi dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan selepas 15 Disember, mereka mahu mahkamah membatalkan Notis Pilihan Raya yang menetapkan tarikh pengundian pada 18 Disember.

Tarikh 15 Disember adalah tarikh Undi18, atau penurunan umur mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun, serta pendaftaran pemilih automatik berkuat kuasa selepas diwartakan.

Ketiga-tiga mereka juga ingin membatalkan notis Daftar Pemilih yang senarai pada 2 November akan digunakan untuk pilihan raya.

Mereka memohon arahan atau perintah mandamus untuk memaksa Pendaftar Pemilih Sarawak dan SPR, responden pertama dan kedua, “untuk mengambil langkah segera bagi memastikan mereka dan mana-mana rakyat seperti mereka berhak mengundi sepertimana diperuntukkan di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan”.

Siew adalah pesuruhjaya kehakiman yang sama pada 3 September menyebelahi kes dibawa lima anak muda Undi18 yang memaksa Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan dan SPR mengambil semua langkah yang perlu untuk Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik berkuat kuasa secepat mungkin, selewat-lewatnya pada 31 Disember. – 13 Disember, 2021.

Iklan
Iklan