Iklan

PBK dijangka kalah bukan bermakna pengundi tolak pemisahan, kata penganalisis

Desmond Davidson3 years ago14th Dec 2021Berita
Pbk  full  full
Penganalisis berkata PBK sukar untuk menang pada PRN Sarawak berikutan calonnya kurang dikenali dalam kalangan pengundi. – Gambar Facebook, 14 Disember, 2021.
Iklan

KETIKA penduduk Sarawak bakal mengundi Sabtu ini, kebanyakan pakar politik berpandangan tiada peluang cerah untuk parti paling kontroversi yang bertanding iaitu parti pro kemerdekaan Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Penganalisis dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Jayum Jawan merangkumkan semua pandangan analisis apabila berkata tidak mengejutkan jika parti itu, yang diterajui bekas Adun DAP Voon Lee Shan, gagal menawan walaupun hanya satu kerusi.

Lee Kuok Tiong dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) meramakan kebanyakan calon PBK akan hilang deposit mereka.

PBK antara 10 parti politik dan gabungan yang bakal bertanding PRN kali ini dengan meletakkan calon di 70 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Walaupun penganalisis setuju parti itu “tidak akan menang kerusi”, mereka juga senada yang hasil keputusan PRN itu bukan cerminan sentimen penduduk Sarawak tidak berminat untuk berpisah dan merdeka.

Pakar pengajian Asia Universiti Tasmania James Chin berkata walaupun PBK tidak berjaya pada PRN pertama mereka ini, ia tidak penting dalam isu pemisahan dan gerakan pemisah.

Beliau berkata memandangkan isu itu berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perbincangan tentang pemisahan dan bengang dengan sikap Putrajaya yang tidak patuh perjanjian itu akan tetap menjadi isu berterusan pada PRN akan datang.

“Isu itu akan ada pada setiap pilihan raya, sama ada dibawa oleh parti pembangkang utama atau parti pentadbir. Akan ada saja pihak membangkitkannya kerana ia ada tarikan emosi,” katanya.

Chin berkata isu pemisahan ada naratif politik yang “sangat mudah difahami”, membayangkan sentiment umum dalam kalangan rakyat Sarawak yang berasakan Sarawak sepatutnya tidak menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Beliau berkata walaupun nenek moyang Sarawak zaman dulu bersetuju dan membentuk Persekutuan Malaysia, rakyat Sarawak pada masa ini berpandangan sebaliknya – Semenanjung dan kerajaan Persekutuan – tidak mematuhi syarat dalam perjanjian itu, maka Sarawak sepatutnya keluar.

“Ia naratif yang mudah. Semua orang faham dan selagi ia masih kekal sebagai isu tidak selesai, ia akan terus menjadi isu pilihan raya bagi banyak lagi pilihan raya akan datang.” – 14 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan